KUALA LUMPUR – Jumlah individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh 3.0 menunjukkan penurunan semalam, dengan menyaksikan 764 direkodkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 722 dikenakan kompaun dan 42 lagi direman di mahkamah.
Kesalahan paling banyak dilaporkan ialah gagal merekodkan butiran diri atau mendaftar masuk ke premis sebanyak 162 kes, manakala tidak memakai pelitup muka (138 kes) dan merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis sebanyak 100 kes.
Katanya, lain-lain kes yang dilaporkan ialah tiada penjarakan fizikal 94 kes, tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91 kes), membawa penumpang berlebihan (78 kes), premis gagal patuhi arahan (tujuh kes) dan lain-lain (94 kes).
Sementara itu, dalam Operasi Benteng kawalan sempadan negara, pasukan keselamatan berjaya menangkap 25 pendatang asing tanpa izin dan merampas dua kenderaan darat serta empat bot/kapal.
“Dalam operasi itu, sebanyak 227 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, Op Benteng itu melibatkan anggota polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta beberapa agensi keselamatan lain. – MalaysiaGazette