Dua pemandu dan van dan pemilik bas kilang dikompaun kerana sengaja membawa melebihi had penumpang

JOHOR BAHRU – Tiga individu dikenakan kompaun berjumlah RM22,000 kerana membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, perbuatan itu terbongkar ketika sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik membuat sekatan jalan raya secara bergerak di Taman Daya, di sini, bermula pukul 8 malam.

Beliau berkata, polis menahan dua pemandu van dan bas kilang lelaki berusia 55 dan 59 tahun yang didapati gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu membenarkan kapasiti penumpang tidak melebihi 50 peratus di dalam kenderaan.

Katanya, ketika pemeriksaan dibuat ke atas kenderaan berkenaan, pihaknya mendapati kesemua tempat duduk di dalam bas dipenuhi pekerja kilang serta tidak ada penjarakan fizikal.

“Susulan penahanan dua lelaki itu, pihak polis telah menghubungi majikan pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi siasatan lanjut.

“Ketiga-tiga lelaki tersebut telah ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun di bawah kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021

“Pemandu van dan pemilik bas pekerja kilang tersebut telah dikompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang manakala bagi pemandu bas pekerja kilang telah dikompaun sebanyak RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Padzli berkata, pihaknya mengingatkan kepada semua pemilik kenderaan dan penumpang supaya mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh MKN dalam sesebuah kenderaan. – Malaysiagazette