Azmin bersama Kon Yoew ketika meninjau PPV untuk barisan hadapan sektor ekonomi di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.

JAWI – Kerajaan menjangkakan kira-kira 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan yang menerima vaksin Covid-19 akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jangkaan itu tertakluk pada bekalan vaksin serta tenaga kerja yang dibekalkan untuk program Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

“Semalam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaludin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa bekalan vaksin dipertingkatkan berkali ganda pada bulan Julai serta Ogos ini.

“Sudah semestinya pihak kami mengharapkan sebahagian daripada vaksin itu diperuntukan untuk sektor ekonomi, namun seperti kenyataan saya sebelum ini keutamaan tetap diberikan untuk melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi petugas barisan hadapan sektor ekonomi (economic frontliner) di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Azmin (kanan) bersama Kon Yoew ketika meninjau PPV untuk barisan hadapan sektor ekonomi di Bukit Jawi Golf Resort di sini hari ini.

Tambah Azmin, apabila sasaran kelompok imuniti itu dicapai sektor ekonomi akan dibuka secara berperingkat-peringkat.

“Maka sebelum kita ambil keputusan untuk membuka kita mahu pekerja ini mendapat suntikan,” ujar Azmin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menerima permohonan daripada lebih 1,200 syarikat membabitkan 200,00 pekerja untuk menyertai PIKAS.

Azmin Ali berkata, PIKAS dilaksanakan secara berperingkat dengan 150,000 dos vaksin Covid-19 diperuntukkan dalam fasa pertama untuk tempoh sebulan bermula semalam.

Kata beliau, PIKAS bermula serentak di Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Menerusi pelaksanaan PIKAS, katanya, pekerja barisan hadapan ekonomi akan dilindungi daripada wabak Covid-19, sekali gus melancarkan pemulihan ekonomi negara.

“Mengikut statistik suku pertama 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kita ada 2.25 juta pekerja dalam sektor pembuatan.

“Saya percaya bekalan vaksin yang mencukupi dapat memenuhi keperluan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette