Demo "Covid-19 Bus Mobile Vaccination" yang ditubuhkan PMPPB

JOHOR BAHRU – Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Negeri Johor merayu kerajaan negeri agar mempertimbang cadangan penggunaan perkhidmatan “Covid-19 Bus Mobile Vaccination’ yang ditubuhkan pertubuhan itu.

Ia merupakan inisiatif bagi membantu pengusaha bas yang kini dalam kesempitan ketika berdepan dengan penularan Covid-19.

Pengerusinya, Thiagarajan A/l Renganathan berkata, penggunaan bas sedikit sebanyak memberi peluang kepada pengusahanya menjana pendapatan bagi menampung kelangsungan hidup.

“Kami nak minta kerajaan negeri menggunakan perkhidmatan ini yang kami sediakan di bawah persatuan agar dapat membantu kami yang sekian lama tiada kerja dan dapat teruskan kami mencari rezeki untuk keluarga kami semua.

“Setakat ini bas kami tidak bergerak lagi, ini ialah contoh bas bergerak yang kami sediakan yang kita sudah siapkan supaya kerajaan nampak kami pun bersedia untuk berkhidmat menyediakan perkhidmatan ini.

“Terus terang saya mewakili ahli-ahli mengharapkan sangat-sangat MB Johor, Datuk Hasni supaya dengarlah suara kami, berilah juga kami peluang dan jangan hanya tertummpu kepada syarikat-syarikat bas yang besar semata-mata, berilah juga kami ruang kerana ada mulut yang perlu kami suap,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Thiagarajan, hasrat itu telah disuarakan melalui permohonan bertulis kepada kerajaan negeri pada 8 Jun lalu, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.

Malah, tambah Pengerusi Jawatankuasa bebas Sekretariat Gabungan Bas Malaysia itu, surat yang sama juga telah dihantar kepada kerajaan pusat pada 11 Jun dan setakat ini tiada berita mengenainya.

“Saya merayu sekali lagi dengarlah suara-suara kami ini semua. Bukan itu sahaja, dengan penggunaan mobile unit tersebut juga, pengusaha bas yang telah lama mengganggur dapat menjalankan semula aktiviti bas mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Thiagarajan memberitahu, PMPPB mengambil usaha berani dengan menyediakan dua buah bas contoh bagi tujuan tersebut.

“Kos penyewaan mobile unit tersebut amat berpatutan dan kami rasa usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu menjaga kebajikan ahli-ahli kami,”katanya sambil menambah pihaknya mampu menyediakan lebih banyak bas.

Sehingga hari ini seramai 100 ahli pertubuhan itu merangkumi pengusaha bas sekolah, pengusaha bas persiaran, pengusaha bas express dan pengusaha bas pekerja terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan. -Malaysiagazette