KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan Rumah Panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Matu di Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Sabtu ini.
Kediaman itu melibatkan Rumah Panjang Salim Anak Unang, Rumah Panjang Judy Anak Kudi, Rumah Panjang Mathew Anak Merang, Rumah Panjang Danggang Anak Ujang dan Rumah Panjang Lait Anak Ijang.
Empat lagi ialah Rumah Panjang Chandi Anak Kilau, Rumah Panjang Putut Anak Jugah, Rumah Panjang Sadin Anak Jeli dan Rumah Panjang Mador Anak Rendah.
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kes positif dikesan apabila Kementerian (KKM) melakukan ujian saringan ke atas penghuni rumah panjang itu.
Katanya, daripada 84 penghuni yang telah disaring, 48 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti 57.14 peratus.
Kata beliau, KKM juga mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi direkodkan di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di sembilan rumah panjang seperti ini dari 19 Jun hingga 2 Julai ini.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk memudahkan pengesanan awal kes positif, sekali gus membendung penularan wabak itu secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, katanya, asrama pekerja warga asing dan kawasan kilang Wah Cens Plastic Industries & Rainbow Metal Sdn, Bhd, di Buloh Kasap, Segamat, Johor juga akan diletakkan dalam pengawasan PKPD.
Kata beliau, dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 52 kes positif telah dikesan setelah 488 individu disaring dengan kadar positiviti 10.7 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pelanjutan tempoh PKPD di kawasan Semarak, Tawau, Sabah sehingga 2 Julai ini.
Sepatutnya kawasan berkenaan dijadulkan tamat esok tetapi setelah berlaku peningkatan kes positif iaitu 102 daripada 486 ujian saringan, maka kerajaan terpaksa melanjutkan lagi dua minggu.
Menurut Ismail Sabri, turut dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu mulai esok ialah Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah, manakala dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan ditamatkan mulai hari ini.
Antara lokaliti yang ditamatkan mulai hari ini, 17 Jun ialah daerah Besut, Terengganu, tiga lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Taman Milenium, Taman Wawasan dan Kampung Jawa Kongsi 10.
Manakala Rumah Panjang Sigah anak Lak, Sungai Baoh Burak, Dalat, Mukah, Sarawak tamat pelaksanaan PKPD esok. – MalaysiaGazette