KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta penjelasan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung justifikasi cadangan penyelidikan yang akan dijalankan ke atas golongan jantina ketiga.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya telah menghantar emel rasmi kepada suruhanjaya itu, tetapi belum mendapat sebarang jawapan.
Beliau berkata, Jakim berhak mendapatkan penjelasan mengenai cadangan penyelidikan itu, sementelah sudah menjadi tugas dan peranan kerajaan untuk menangani sesuatu isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.
“Susulan iklan mencari penyelidik untuk mengkaji berkenaan jantina ketiga yang disiarkan di Facebook Suhakam pada 14 Jun lalu, Jakim telah menghantar emel rasmi memohon penjelasan mengenai justifikasi cadangan penyelidikan yang akan dijalankan.
“Setakat ini, Suhakam belum memberikan sebarang jawapan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Semalam, media melaporkan Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Seri Hishamudin Yunus mahu suruhanjaya itu diberi kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga dalam negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, isu transgender adalah satu “medical condition” yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup.
“Jantina ketiga adalah mereka yang dilahirkan lelaki atau perempuan, tetapi mempunyai “jiwa” yang bertentangan dengan fitrahnya,” kata Hishamudin.
Menurut Ahmad Marzuk, kenyataan itu sangat mengecewakan dan jelas menyimpang daripada fakta sebenar dan juga ajaran Islam.
Ahli Parlimen Pas Pengkalan Chepa itu berkata, hujah bahawa sesiapa pun tidak boleh menidakkan hak asasi seseorang itu semata-mata kerana dilahirkan sebagai transgender yang mempunyai “jiwa” bertentangan dengan fitrahnya, sangat sukar untuk diterima akal.
Kata beliau, jiwa yang bertentangan dengan fitrah perlu diuruskan supaya ia tidak merosakkan diri dan masyarakat.
“Kalaulah semua perkara boleh dilakukan dengan menggunakan hujah jiwa, nescaya huru-hara dan kucar-kacirlah dunia kerana kita perlu meraikan segala jenis benda haram yang menjadi kecenderungan manusia.
“Lagi pula, kita tidak mahu data yang dikumpulkan disalah guna untuk memberi gambaran realiti sosial yang salah, memandangkan matlamat kajian secara jelas adalah berat sebelah, iaitu ke arah memberi pengiktirafan kepada jantina ketiga.
“Saya melihat adalah lebih baik untuk Suhakam menggunakan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan bagi mengkaji isu lebih relevan dengan situasi pandemik yang mendesak, terutama berkaitan isu hak asasi golongan rentan, wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.
Kata beliau, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga.
Beliau percaya, lebih banyak data dan kajian diperlukan daripada semua pihak dalam mencari solusi terbaik bagi menyelesaikan kes mangsa keganasan rumah tangga, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memperbanyakkan kajian yang memberi manfaat kepada golongan ini adalah lebih utama daripada pergi kepada isu yang menjadi bantahan majoriti rakyat.
“Saya minta Suhakam jujur dalam menentukan kajian lebih penting untuk merealisasikan hak asasi manusia di Malaysia.
“Yang lebih utama, hormatilah Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi rakyat majoriti Islam yang berpegang teguh dengan agama dan nilai moral. – MalaysiaGazette