Zainah Abd Manaf menunjukkan produk Terragrill yang kini boleh didapati di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Terragrill, jenama sate popular di Pulau Langkawi kini melebarkan operasi dengan membuka kedai sejuk beku pertamanya di ibu kota.

Pemiliknya, Zainah Abd Manaf teruja kerana impian untuk melihat jenama berkenaan ‘belayar’ keluar dari Langkawi berjaya direalisasikan walaupun negara masih berdepan suasana tidak menentu akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlarutan.

Zainah adalah  alumni program 100 Go Digital anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Katanya, setelah membuat kajian, syarikat itu membuat pelaburan sebanyak RM50,000 untuk membuka kedai berkenaan yang terletak di tingkat atas Pasar Taman Tun Dr. Ismail yang disifatkan sebagai lokasi strategik.

”Walaupun baharu beroperasi pada awal bulan ini, saya bersyukur kerana kami berjaya menjual sebanyak satu tan sate ayam, daging dan kambing dengan hasil jualan sekitar RM20,000.

”Saya jangkakan dalam tempoh dua minggu berikutnya, sebanyak satu tan lagi stok akan terjual,” katanya di sini hari ini.

Ditanya mengenai langkah berani untuk membuka kedai ketika ini, Zainah, 43, berkata, Terragrill perlu tampil dengan strategi digital baharu untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

”Hasil jualan di Langkawi bergantung kepada permintaan daripada hotel namun disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan disambung pula dengan PKPB, terdapat hotel yang menutup operasi manakala hotel yang masih bertahan telah mengurangkan pembelian.

”Sebelum ini, Terragrill turut menghantar produk ke Kuala Lumpur dan Selangor. Oleh itu, langkah membuka kedai sejuk beku di sini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan di Lembah Klang dan memastikan syarikat terus menjana pendapatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainah berkata, pelaburan yang dibuat membabitkan kos sewa kedai, pembelian peti sejuk beku besar, menggaji dua orang pekerja baharu dan membuat pemasaran digital.

Bagi memastikan sate yang dijual kepada pelanggan berada dalam keadaan segar, Zainah memastikan penghantaran stok dari kilang di Langkawi dilakukan pada setiap minggu.

Jenama Terragrill merupakan antara 100 usahawan di Langkawi yang menyertai Program 100 Go Digital.

Menerusi penglibatannya, Zainah berpeluang meluaskan perniagaannya ke ‘wilayah baharu’, , sekali gus mengurangkan kerugian yang ditanggung akibat pandemik Covid-19 yang memberi kesankepada sektor pelancongan di Langkawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pegawai Perniagaan Digital MDEC, Aiza Azreen Ahmad berkata, agensi berkenaan sentiasa menggalakan usahawan tempatan bergerak ke arah pendigitalan supaya terus berdaya saing, lestari dan mampu bertahan dan berkembang ketika pandemik global.

”MDEC telah melancarkan program 100 Go Digital Coaching yang menggabungkan pelbagai komponen secara hands-on dalam memimpin peserta untuk memastikan mereka mencapai prestasi baik dalam perniagaan.

”Kisah usahawan seperti pemilik Terragrill ini yang menggunakan pendekatan digital dalam perniagaannya telah menunjukkan hasil dalam tempoh singkat dan meluaskan perniagaan di kawasan baharu,” ujarnya.

Ia selaras dengan matlamat MDEC yang memberi tumpuan terhadap empat teras DIGITAL iaitu Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments). Ini membentuk asas kepada kempen jenama digital NADI MDEC yang memacu program-program terasnya untuk rakyat, perniagaan dan para pelabur.

Jenama Terragrill yang merupakan peserta 100 Go Digital telah menguruskan teras Pengganggu apabila membawa operasi perniagaannya ke kawasan baharu selepas Pulau Langkawi terjejas akibat sekatan pergerakan. Ini membuktikan bahawa kemahiran digital dapat membantu perniagaan untuk terus beroperasi di sebalik kekangan yang dihadapi.

Inilah tujuan MDEC melaksanakan inisiatif untuk membimbing perniagaan tempatan bergerak ke arah pendigitalan bagi memastikan perniagaan terus bertahan dan berkembang,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast