Sektor pembinaan antara industri yang mengalami masalah kekurangan tenaga mahir di negara ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Enam tapak binaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Penutupan itu diarahkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebanyak 123 tapak binaan diperiksa di seluruh negara dengan 19 daripadanya beroperasi manakala 104 lagi tidak beroperasi.

“Dalam pemeriksaan itu, CIDB mendapati 13 tapak binaan mematuhi SOP.

“Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 19,365 pemeriksaan melibatkan 11,138 tapak binaan sejak 20 April tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan mengenai status terkini pelaksanaan PKP 3.0, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, seramai 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) yangf masuk ke negara ini secara tidak sah dicekup dalam Op Benteng semalam.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak tiga buah kenderaan darat dirampas berserta tiga buat bot.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 22 pemilik premis perniagaan dikenakan kompuan kerana gagal mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebanyak 742 pemantauan harian n ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (579), pemborong (133) dan pengilang (30) dilakukan anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“KPDNHEP juga telah melakukan 1,580 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,558 premis mematuhi SOP,” ujarnya. – MalaysiaGazette