Perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh di dalam kawasan tapak pembinaan lebuh raya DASH berhampiran Kota Damansara hingga menyebabkan kematian seorang pekerja.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) telah dihentikan serta-merta susulan kejadian perancah besi atau ‘scaffolding’ jatuh lewat petang tadi.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn. Bhd., pemaju bagi projek pembinaan DASH yang  mengesahkan insiden itu berkata, dua pekerja warga Bangladesh cedera dan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, insiden tersebut tidak membabitkan pengguna lebuh raya atau orang awam kerana ianya berlaku di dalam kawasan pembinaan yang bertutup.

”Pasukan Emergency Response Team (ERT) DASH telah berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pihak pemaju dan kontraktor utama terlibat akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.

Tambahnya, syarikat akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette