Suria Mohamad menginap bersama isteri dan anaknya sejak November 2019 dalam keadaan bersesak dan serba kekurangan di bawah jambatan Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kisah sedih pesara tentera yang terpaksa tinggal bersama keluarganya di bawah jambatan Loke Yew di sini, terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Penderitaan diharungi Suria Mohamad, 59, selepas didedahkan MalaysiaGazette semalam turut menerima respon daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menerusi ciapan di Twitter, agensi itu memaklumkan telah menyantuni keluarga pesara berkenaan hari ini.

“JKM telah bertindak segera menghantar anggota ke lokasi bagi meninjau sendiri dan mendapat maklumat tentang satu keluarga yang dilaporkan tinggal di bawah jambatan,” demikian menurut ciap itu yang turut ditujukan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Pejabat Perdana Menteri dan MalaysiaGazette.

Artikel berkaitan:

Terdahulu hari ini, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kenyataan ringkasnya memaklumkan akan memantau nasib pesara tentera itu dan keluarga sehingga mereka mendapat kediaman.

Katanya, keluarga itu telahpun disantuni oleh JHEV ATM dan Baitulmal Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Dalam perkembangan terkini difahamkan, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa akan mengunjungi keluarga berkenaan pukul tiga petang nanti. – MalaysiaGazette

Nasib sedih tujuh beranak tinggal di bawah jambatan

JHEV ATM pantau nasib pesara tinggal bawah jambatan hingga dapat rumah