Bangunan Parlimen utama
Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.

Katanya, sama ada persidangan akan dibuat secara hibrid atau fizikal, keputusan mengenainya akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Katanya dipetik dari BERNAMA, kerajaan perlu memperhalusi semua perkara bagi mengelak timbul masalah selepas pelaksanaannya.

Menurut beliau, kerajaan antara lain perlu mengambil kira sama ada persidangan boleh diadakan secara fizikal, dan sama ada pelaksanaan secara hibrid selari adalah dengan peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Selain itu, jelasnya wujud juga keperluan untuk mengambil kira soal persiapan Parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuklah aturan tempat duduk ahli Parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Muhyiddin menegaskan, bukan niatnya untuk melengahkan pembukaan persidangan Parlimen, sebaliknya itu isu yang harus diperhalusi terlebih dahulu.

Katanya beliau berharap rakyat faham, dan menurutnya ia bukan soal kerajaan mahu menafikan hak ahli Parlimen atau menyanggah kenyataan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu. – MalaysiaGazette