updating MySejahtera Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan operasi pematuhan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak didapati melanggar SOP yang telah diwartakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi pematuhan itu ditingkatkan dalam usaha kerajaan memastikan sektor perkilangan dan perniagaan mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.

Kata beliau, sejak 1 hingga 19 Jun lalu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 510 kilang dan daripada jumlah itu 113 kilang telah diarahkan tutup.

Secara kumulatif, menurutnya, sebanyak 24,942 kilang dan premis perniagaan telah diperiksa sejak 14 Januari lalu melibatkan 22,819 premis perniagaan dan 2,123 kilang.

“Malah, sehingga kini, sebanyak 167 kilang dan 17 premis bukan kilang telah diarahkan tutup.

“Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) secara kumulatifnya bermula 1 Jun lalu hingga semalam, telah melakukan 33,010 pemeriksaan.

“Semalam juga, 2,027 pemeriksaan pematuhan harian telah dilakukan dan sebanyak 12 kompaun dikeluarkan ke atas premis perniagaan yang gagal mematuhi SOP PKP menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kata beliau, sebanyak 14 lokaliti atau kawasan di Sabah, Johor dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 22 Jun ini.

Kata beliau, PKPD itu melibatkan beberapa kawasan di Sabah iaitu Kampung Skim Pamalan, Keningau; Kampung Jaya Baru, Kunak; Taman Wijaya Park, Kota Kinabalu; Kampung Serudung Baru, Tawau; dan Ladang Brumas, Kalabakan.

Jelas beliau, empat lokaliti di Mukim Tenglu, Mersing, Johor yang dikenakan PKPD ialah Kampung Tanjung Genting, Kampung Benaung, Kampung Makam dan Kampung Sawah Datok.

“Di Pahang pula melibatkan lima taman iaitu Taman Bukit Bendera, Taman Rimba, Taman Sri Layang, Taman Saga dan Taman Saga Indah di Taman Perumahan Dalam Kawasan Mentakab, Temerloh.

“Dalam pada itu, satu lokaliti PKPD yang kes positifnya masih tinggi di Kampung Pulutan, Nabawan, Sabah pula dilanjutkan lagi selama dua minggu dari 22 Jun hingga 5 Julai ini.

“Mengikut jadual, tempoh habis PKPD Kampung Pulutan ini sepatutnya 21 Jun ini, tetapi memandang masih terdapat penularan berterusan di kalangan penduduknya, maka kerajaan bersetuju melanjutkan selama dua minggu lagi,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri turut menjelaskan sebanyak 10 lokaliti yang dikuatkuasakan PKPD akan tamat hari ini dan esok.

Katanya, lokaliti yang ditamatkan PKPD, tetapi tetap dalam PKP 3.0 ialah Kampung Murni C, Nabawan; dua perkampungan di Kota Belud iaitu Kampung Tamalang dan Kampung Tuguson; Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, Tawau; dan Apartment Taman Permata, Sandakan, Sabah.

Turut ditamatkan ialah Kampung Ongkilan, Kota Marudu; tiga lokaliti di Jaya Gading, Kuantan, Pahang iaitu Kampung Jaya Gading, sebahagian Kampung Seri Damai dan Bandar Baru Jaya Gading; serta Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang.

“KKM mengesahkan kes aktif di semua lokaliti ini menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah diasingkan dan dimasukkan ke PKRC serta kontak rapat diasingkan serta dipantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast