KUALA LUMPUR – Perutusan Pelan Pemulihan Negara yang disampaikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu tidak ada yang menggembirakan rakyat, malah semakin menambahkan kebimbangan mereka.
Ini kerana, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak ada bantuan yang benar-benar konkrit untuk membantu mereka, selain pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 fasa demi fasa.
“Hanya mereka, terutama peniaga kecil yang terputus rezeki atau berkurangan pendapatan sepanjang pandemik Covid-19 tahu betapa perit hidup perlu dilalui.
“Yang tidak dibenarkan berniaga mahupun dibenarkan berniaga hampir serupa nasib mereka.
“Pemberian moratorium pula masih bersyarat itu dan ini oleh pihak bank. Desakan i-Sinar 2.0 tiada respon sehingga kini. Bagaimana peniaga kecil ini hendak meneruskan kehidupan mereka selepas ini,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, mereka memerlukan bantuan itu untuk menampung segala kos tanggungan bulanan serta perbelanjaan seisi rumah.
Menurutnya, Raja-Raja Melayu juga cakna dan telah bertitah mengambil maklum dengan kesusahan dihadapi rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Katanya, lontaran slogan “Bangsa Malaysia Bangsa Kental” sahaja tidak akan mengisi kekosongan dapur rumah dan membayar komitmen mereka.
“Mungkin sebab itu saya terbaca ada peniaga kecil menyifatkan Pelan Pemulihan Negara sebagai pelan yang menyusahkan,” katanya. – MalaysiaGazette