Ahmad (tiga dari kiri) mendengnar penerangan dari polis berhubung operasi pergerakan kenderaan sektor pertanian di SJR.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini turun padang meninjau operasi sektor pertanian di Tanah Rata Cameron Highlands yang terjejas berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Tinjauan diketuai Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah itu untuk melihat operasi di lapangan dan juga pergerakan lori membawa bekalan sayur melalui sekatan jalan raya (SJR) bagi semua sektor pertanian yang dilaporkan terjejas apabila beberapa kawasan dan lokasi pertanian diletakkan di bawah PKPD.

Menurut Ahmad, beliau dimaklumkan Jabatan Pertanian Pahang bahawa semua aktiviti pertanian dan rantaiannya telah kembali beroperasi seperti biasa dengan pematuhan SOP yang ketat.

Katanya, aktiviti pengangkutan lori buah-buahan dan sayur-sayuran yang melalui sekatan jalan raya (SJR) juga berjalan seperti biasa.

“PKPD di lokaliti Kampung Raja yang meliputi Kampung Sungai Ikan hingga ke Kampung Blue Valley merupakan kawasan pertanian yang melibatkan keluasan sekitar 1,500 ekar.

“Sebanyak 75 peratus hasil pengeluaran pertanian dari kawasan ini untuk pasaran tempatan, manakala selebihnya iaitu 25 peratus untuk dieksport ke Singapura.

“Bermula 1 hingga 17 Jun ini, Jabatan Pertanian negeri telah mengeluarkan sebanyak 1,172 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian kepada petani dan usahawan tani khususnya di daerah Cameron Highlands,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah mengeluarkan kenyataan berkaitan kebenaran kepada semua sektor pertanian untuk beroperasi semula walaupun berada dalam kawasan yang terlibat PKPD.

Beliau menjelaskan, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju membenarkan sektor pertanian serta rantaiannya terus beroperasi sepanjang masa termasuk di mana-mana kawasan PKPD.

Ini selaras dengan keputusan kerajaan meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai perkhidmatan perlu yang dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Turut hadir dalam program turun ke lapangan itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli; Pengarah jabatan dan agensi MAFI Pahang.

Menurut Ahmad, FAMA sentiasa bekerjasama dengan persatuan penanam sayur setempat bagi memastikan kelangsungan bekalan sayur negara.

Katanya, dianggarkan 500 pengusaha sayur dan 80 petani bunga menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu, yang turut menghasilkan 560 tan metrik sayur-sayuran segar setiap hari.

Jumlah hasil itu, ujarnya, meliputi 180 tan metrik dari Kampung Raja dan Kampung Blue Valley serta 380 tan metrik dari kawasan Lojing.

Bekalan 75 peratus sayur-sayuran dari Cameron Highlands itu diedar dan diagihkan setiap hari sebanyak 50 peratus ke Kuala Lumpur, 16 peratus ke Ipoh dan sembilan peratus ke pasaran tempatan yang lain.

“FAMA juga turut membantu dari segi pengaturan pemasaran dengan mengedarkan hasil pertanian ke beberapa lokasi seperti di Lembah Klang, Kuala Terengganu, Tangkak, Alor Setar dan Jerantut.

“FAMA juga menyediakan kemudahan pusat penggredan dan penyimpanan bilik sejuk bagi menampung hasil pertanian, yang mana sehingga kini telah mengeluarkan 257 surat kebenaran kepada petani dan pengusaha di Cameron Highlands bagi memudahkan mereka meneruskan aktiviti pemasaran hasil pertanian,” katanya.

Selain meninjau operasi sektor pertanian di lapangan, Ahmad turut menyerahkan sumbangan MAFI Prihatin kepada petugas barisan hadapan di SJR Lojing di sempadan negeri.

MAFI Prihatin katanya, merupakan hasil sumbangan dan tanggungjawab sosial pelbagai jabatan dan agensi di bawah kementerian ittu seperti FAMA.

Selain itu, produk makanan turut disampaikan oleh Jabatan Pertanian Pahang bertujuan untuk membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast