Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ordinan Darurat di bawah Seksyen 14 yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam segala hal demi menyelesaikan masalah negara, tanpa perlu mendapatkan nasihat Perdana Menteri.

Kata pengamal undang-undang yang juga peguam, Datuk Zaid Ibrahim, kalau kerajaan menganggap YDPA mesti mengikut nasihat mereka, itu adalah satu kesilapan.

Ini kerana, prinsip Raja Berperlembagaan, YDPA mesti mengikut nasihat Perdana Menteri di bawah Artikel 40 Perlembagaan itu tidak boleh digunapakai ketika darurat kerana Seksyen 14 Ordinan Darurat memberi kuasa penuh kepada baginda.

“Perdana Menteri dan penasihatnya mungkin merasakan, jika mereka memberi kuasa penuh kepada YDPA melalui Ordinan Darurat, maka mereka boleh mengambil kesempatan berselindung di belakang kuasa YDPA.

“Mereka akan berkata, “YDPA mesti ikut nasihat kami”, kerana itulah lazimnya prinsip Raja Berperlembagaan.

“Sedangkan, mereka tidak menyangka prinsip biasa tidak laku dalam masa darurat. YDPA dan Raja-Raja Melayu juga ada pendirian sendiri dan tidak mahu jadi pak turut,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Zaid yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) menjelaskan, kerajaan akan berdepan dengan salah perkiraan mengenai undang-undang darurat yang digubalnya sendiri.

Kata beliau, isu baginda perlu mendapatkan nasihat Perdana Menteri sebelum mengambil apa-apa tindakan itu tidak timbul, kecuali Parlimen bersidang dan mengubah Perkara 14 Ordinan Darurat sekarang.

Beliau turut menyifatkan, kerajaan sekarang bernasib baik kerana masih lagi memerintah, walaupun tidak menentu hala tuju.

Katanya, dalam masa darurat, yang mana Parlimen tidak bersidang, Ordinan Darurat yang ada sekarang memberi kuasa penuh kepada YDPA, dengan baginda boleh memanggil Parlimen bersidang esok atau lusa.

Bahkan, baginda boleh memecat Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat dan sebagainya.

“Itulah luasnya kuasa YDPA semasa darurat, tetapi mereka bernasib baik kerana Yang di-Pertuan Agong seorang raja yang lembut dan sabar orangnya,” katanya.

Zaid berkata, Ordinan Darurat memberi kuasa kepada YDPA untuk melakukan apa saja walaupun bercanggah dengan prinsip dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan selagi Parlimen tidak bersidang untuk mengubah ordinan tersebut.

“PM kita “wants the cake and eat it”, kata orang Inggeris. Beliau mahu darurat yang memberi kuasa mutlak kepada YDPA dengan harapan nasihat beliau sentiasa diikuti oleh baginda. Itulah sebab orang tua-tua berkata, “pandai-pandai tupai melompat, jatuh juga ke tanah”.

Beliau berkata, krisis yang ada sekatan boleh diselesai dengan mudah, malah YDPA boleh memanggil Perdana Menteri mengadap dan memberitahu beliau jawatannya sebagai Perdana Menteri akan gugur pada 1 Julai 2021.

Bahkan, YDPA juga boleh namakan penggantinya dengan serta merta dan arahkan Parlimen bersidang untuk memilih Perdana Menteri baharu, jika itulah yang difikirkan terbaik.

Kata Zaid, notis 28 hari untuk Parlimen bersidang tidak perlu diikuti kerana dalam darurat dan segala keputusan YDPA adalah sah semasa darurat, termasuk isu notis mesyuarat dan ianya tidak boleh dicabar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast