GEORGE TOWN – Sebanyak enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Pulau Pinang telah diluluskan bagi merancakkan lagi proses imunisasi membabitkan sektor industri/perkilangan di negeri ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, selain PPV Bukit Jawi Golf Resort yang telah beroperasi sejak 16 Jun lalu, PPV di Hotel Equatorial bakal beroperasi pada 28 Jun ini.

Jelas beliau, selain dua PPV itu, tiga PPV lapangan iaitu membabitkan syarikat multinasional Intel Technology Sdn. Bhd.; Jabil Circuits Sdn. Bhd.; Plexus Manufacturing Sdn. Bhd akan beroperasi di Bayan Lepas dan sebuah di Batu Kawan iaitu Inari Amerton Berhad.

“Semua PPV berkenaan akan terus beroperasi termasuk memberi perkhidmatan kepada kakitangan syarikat-syarikat lain sehingga dilaksanakan sepenuhnya membabitkan sektor berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini:

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, berdasarkan data yang dikongsi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan negeri menunjukkan perebakan jangkitan di tempat kerja masih mencatatkan jumlah tertinggi.

Kata beliau, berdasarkan laporan yang dibentangkan sebentar tadi terdapat 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang dan diikuti dengan tapak bina (2); komuniti (2); pusat tahanan dan keagamaan masing-masing satu.

“Dari aspek penguatkuasaan pula, sebanyak 101 kilang telah diarahkan tutup ekoran perebakan jangkitan Covid-19 dalam tempoh Januari hingga 20 Jun tahun ini dengan perangkaan tertinggi iaitu 45 buah di daerah Seberang Perai Tengah; Barat Daya (36); Seberang Perai Selatan (14) dan masing-masing tiga buah di Seberang Perai Utara dan Timur Laut.

“Selain itu, penguat kuasa semua agensi masih meneruskan operasi dari semasa ke semasa termasuk mengenal pasti kilang-kilang yang bertindak menipu serta menyembunyikan fakta sebenar.

“Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Negeri menggunakan pelbagai pendekatan termasuk outreach ke organisasi serta lokaliti-lokaliti bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir,” kata Kon Yeow.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menegaskan Ketua Polis Pulau Pinang turut berkongsi data dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 53 kes bunuh diri dilaporkan.

“Dalam tempoh yang sama 19 kes membabitkan cubaan bunuh diri turut dilaporkan.

“Peningkatan perangkaan berkaitan akan diberi perhatian khusus oleh JKNPP yang mana aspek penekanan kesihatan mental juga perlu diberikan sewajarnya,” kata Kon Yeow. – MalaysiaGazette