Dua gadis remaja besekolah tingkatan 3 antara lapan dikompaun RM32,000 kerana private party serta tujuh daripadanya direman selepas positif dadah Methaphetamine.Foto Ihsan PDRM Shah Alam

SHAH ALAM – Dua pelajar perempuan merupakan antara lapan individu yang dicekup atas kesalahan berkumpul dan berparti dalam satu serbuan yang dilakukan polis awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis menyerbu rumah berkenaan pada jam 1 pagi ini selepas menerima aduan mengenai aktiviti berkumpul secara beramai-ramai.

“Hasil serbuan dan siasatan di rumah itu secara menyeluruh di alamat tersebut pasukan pematuhan SOP berjaya menahan seramai lima lelaki dan tiga perempuan tempatan yang berumur antara 15 hingga 23 tahun.

“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti private party yang mana turut ditahan dalam serbuan sama termasuklah dua perempuan remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah di tingkatan tiga di sebuah Sekolah Menengah di Klang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Baharudin, kesemua lapan individu itu telah dikompaun berjumlah RM32,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Penyakit Berjangkit [PPDPPB (LLDDKTJ)(No. 4) 2021] iaitu sebanyak RM4,000.00 setiap orang kerana berkumpul dan berparti beramai-ramai.

Tambah beliau, kesemua suspek dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Jelasnya, soal siasat lanjut ke atas mereka, bilik berkenaan disewa selama satu malam untuk tujuan private party dengan kadar bayaran RM130 seorang dan mereka yang saling berkenalan mula berkumpul di rumah berkenaan mulai jam 6.30 petang semalam.

“Hasil ujian saringan awal polis yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek termasuk dua gadis masih bersekolah itu dikesan positif dadah Amphetamine, Methamphetamine dan Benzo manakala seorang lagi suspek lelaki negatif dadah sementara kesemua suspek didapati tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Semasa kami serbu rumah berkenaan, kesemua saspek berada dalam keadaan khayal disyaki bawah pengaruh dadah dan agak keletihan kerana tidak serik berparti sejak jam 6.30 petang semalam yang dijangka tamat 2 pagi tadi,” ujatnya.

Baharudin berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan empat lelaki dan tiga perempuan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari sehingga 23 Jun ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette