Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ketidakadilan pengagihan bekalan vaksin Covid-19 menjadi punca negara Asia termasuk Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Susulan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan, adalah tidak adil untuk membandingkan kadar vaksinasi di negara ini dengan negara-negara EU yang membeli sejumlah besar vaksin pada peringkat awal secara pukal.

“Sebagai contoh, Hungary adalah sebahagian daripada EU dan EU berunding dengan pembekal vaksin secara pukal dengan kuasa beli mereka selain kilang mengeluarkan vaksin juga ada di Eropah.

“Jadi, mereka membolot vaksin lebih awal lagi sedangkan negara di Asia termasuk Jepun yang sudah maju pun sangat terkebelakang berbanding Eropah, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Kanada serta negara Amerika Selatan yang menerima banyak bantuan daripada AS,” katanya pada sidang media perkembangan PICK hari ini.

Beliau menjawab soalan wartawan berhubung kadar vaksinasi di negara ini yang didakwa lambat berbanding negara seperti Hungary yang telah membenarkan puluhan ribu penonton menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium ekoran sebahagian besar rakyatnya sudah menerima vaksin.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tindakan EU juga menyebabkan negara Asia  terkebelakang dalam hal itu.

Katanya, ia berbeza jika dibandingkan dengan Eropah yang menerima vaksin daripada AS dan telah mencapai imuniti kelompok lebih awal.

“Sepatutnya buatlah perbandingan dengan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Vietnam kerana Malaysia mendahului semua negara itu apabila melibatkan kadar vaksinasi dan kita menghampiri Jepun. Ini adalah usaha kerajaan padar kadar yang tinggi,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, perkara ketidakadilan itu sudah dibangkitkan sejak awal lagi kerana negara-negara UK membeli lima kali ganda vaksin daripada jumlah rakyatnya begitu juga Kanada.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan boleh membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega namun ia tidak bermakna sekiranya bekalan tidak mencukupi.

Tambahnya, jika dilakukan, ia menyebabkan rakyat mempertikai dan memarahi kerajaan atas pembaziran membuka PPV tersebut.

“Ada pihak mengkritik mengenai PPV mega yang baru dibuka, kerajaan bukannya tidak mahu membukanya tetapi bekalan tidak cukup.

“Apabila bekalan sudah sampai dan mencukupi, barulah kerajaan membuka banyak PPV supaya kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan sekali gus mencakupi komuniti kelompok lebih cepat,” jelasnya. – MalaysiaGazette