Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang keluh-kesah rakyat dan berusaha menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

KUALA LUMPUR – Tiada pelan pemulihan di dunia ini yang dapat menjamin kepastian 100 peratus, mahupun kesempurnaan yang menyeluruh.

Sebagai contoh, pelan pemulihan negara lain seperti United Kingdom dan Singapura yang terjejas dan terpaksa ditunda akibat penularan varian Delta yang lebih mengancam nyawa.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun negara-negara ini  mengecapi kejayaan awal, kini mereka juga terpaksa mengharungi cabaran lain melalui kenaikan kes harian baharu.

Oleh itu, katanya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) amatlah penting bagi membolehkan rakyat dan perniagaan membuat perancangan yang sewajarnya.

Pelan ini memperincikan hala tuju dan membuka jalan keluar dari kemelut krisis Covid-19.

Menurut beliau, dengan indikator yang jelas dan mudah difahami, semua pihak dapat bersama-sama mendokong usaha ke arah peralihan dari satu fasa ke fasa yang seterusnya, sehingga beralih keluar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan memahami rakyat resah memikirkan nasib untuk meneruskan kelangsungan hidup susulan pelaksanaan PKP 3.0.

”Perbelanjaan keluarga dan anak-anak; keupayaan untuk membayar hutang dan menampung kos sara hidup; peluang pekerjaan bagi menjana pendapatan dan kehidupan yang lebih bermaruah – ini semua didengari dan diambil maklum,” katanya.

“Oleh itu, bagi Fasa 1, kerajaan telahpun memperkenalkan  Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+)  untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan dalam menghadapi PKP 3.0.

” Dan melangkah ke hadapan, saya ingin menekankan bahawa Kementerian Kewangan sedang memperhalusi dan memperincikan langkah tambahan sebagai komitmen berterusan untuk menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi bagi tempoh mencabar pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, walaupun kadar vaksinasi merupakan aspek penting kepada pemulihan ekonomi, adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan kes Covid-19 menurun melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang akan melindungi diri, keluarga and komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast