KUALA LUMPUR – Kesediaan dan komitmen segera ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan saranan mewujudkan satu jawatankuasa berkaitan pembukaan sidang Parlimen menunjukkan kerjasama erat antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, pengumuman Perdana Menteri untuk menubuhkan jawankuasa khas yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang membuktikan beliau mempunyai sikap terbuka.
Katanya, jawatankuasa khas itu perlu untuk meneliti beberapa aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
“Maklum balas segera ditunjukkan Perdana Menteri membuktikan sikap keterbukaan dan kesediaan beliau untuk mewujudkan ‘genjatan sementara politik’ bagi meredakan suhu panas politik sebagaimana dizahirkan oleh Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin dilaporkan berkata, sebuah jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek penting sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa berkenaan.
Menurut Mohd Zaid, jiwa besar yang ditunjukkan Perdana Menteri bagi mengutamakan agenda menyelamat rakyat dan negara dari wabak Covid-19 lebih besar daripada kepentingan politik peribadi serta kepartian sebagaimana dizahirkan Yang di-Pertuan Agong.
Jelas beliau, UMMAH menyokong supaya pembukaan Parlimen dengan segera dan segala proses sewajarnya selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negara. – MalaysiaGazette