updating MySejahtera Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan lapan lagi lokaliti di Sarawak, Sabah, Melaka dan Perak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  berkuatkuasa selama dua minggu bermula 23 Jun ini.

Lokaliti itu ialah dua kawasan di Bahagian Mukah, Sarawak iaitu Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis; dan Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Jalan Sibu-Mukah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Blok 11 Kampung Titingan dan Batu 7, Jalan Tinagat turut dikenakan PKPD.

Selain itu, kata beliau, PKPD juga dikenakan di Kampung Ejuk, Kota Belud; Kampung Warisan, Kota Kinabalu, Sabah; Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara), Melaka Tengah, Melaka; dan kilang sawit Cahaya Muda (termasuk kuarters pekerja), Batang Padang, Perak.

Katanya, mengikut laporan dari Kementerian Kesihatan (KKM), PKPD Kampung Warisan, Kota Kinabalu dikenakan sehingga 6 Julai ini kerana berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 13 kes direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Penjara Sungai Udang (kecuali Kuarters Penjara) di Melaka Tengah pula dikenakan PKPD berdasarkan rekod KKM yang melakukan 262 ujian saringan sehingga hari ini, mendapati 157 daripadanya dilaporkan positif Covid-19.

“Begitu juga dengan kilang sawit Cahaya Muda (termasuk kuarters pekerja), Batang Padang di Perak dikenakan PKPD disebabkan 97 daripada 281 ujian saringan disahkan positif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dua lokaliti di Bahagian Mukah, Sarawak pula mendapati 49 kes telah direkodkan hasil daripada 117 ujian saringan di Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau dan 15 positif daripada 25 ujian di Kuarters Pekerja Balingian Power Generation.

Sementara itu, katanya, tidak ada lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD, melainkan 10 kawasan telah tamat mulai hari ini dan tengah malam ini.

Kawasan mulai tengah malam ini ialah tiga lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah dan Taman Megah Jaya; Kampung Narandang, Kudat; Ladang FGV Kalabakan Selatan, Kalabakan; Kampung Bolong Baru, Tuaran; dan Kampung Simpangan, Tuaran.

Di Semenanjung pula, lokaliti yang tamat mulai hari ini dan esok ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Muallim, Perak; FELDA Trolak Utara, Sungkai, Perak; dan FELDA Tembangau 1 & 3, Bera, Pahang.

Semua lokaliti itu diletakkan bawah pelaksanaan PKPD kira-kira dua minggu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast