Foto hiasan

NEGARA kita sedang menjalani tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dengan fasa pertama yang bermula 1 Jun 2021-14 Jun 2021, dan kini disambung semula untuk fasa kedua. Umum mengetahui langkah ini terpaksa diambil sebagai langkah membendung penularan kes Covid 19 yang pada satu ketika melebihi 9,000 kes.

Namun begitu sehingga hari ini, tiada tanda-tanda penurunan yang jelas dengan terkini sebanyak 5911 kes masih direkodkan dengan jumlah kluster sebanyak 2,604 dan 24 kluster baru direkodkan.

Namun antara sedar ataupun tidak sejak beberapa bulan yang lalu, kira-kira 35%-40% daripada jumlah kes Covid 19 di negara kita disumbangkan oleh statistik negeri Selangor dan Kuala Lumpur.

Umum juga mengetahui bahawa, ada negeri-negeri yang terkesan disebabkan oleh kes-kes merentas negeri terutamanya daripada kawasan ibu kota.

Kita menyambut baik hasrat kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi untuk memperoleh status imuniti berkelompok untuk rakyat Malaysia. Namun begitu, dalam melaksanakan misi ini, perancangan dan keutamaan haruslah tepat.

Contohnya, pentaksiran risiko di Negeri Selangor sudah pastilah berbeza dengan pentaksiran risiko di negeri Kedah kerana pola aktiviti masyarakat sosio-ekonominya berbeza. Lantaran itu, perancangan dan keutamaan untuk Negeri Selangor umpamanya mestilah berbeza kerana penilaian risiko di negeri Selangor adalah berbeza jika dibandingkan dengan negeri Kedah atau Perlis.

Namun begitu, kita melihat perancangan dan keutamaan tidak dikendalikan dengan baik. Ini jelas jika berdasarkan rekod, ia menunjukkan bahawa perancangan dan keutamaan di Negeri Selangor tidak dijalankan dengan berkesan dan lancar iaitu hanya merekodkan jumlah vaksinasi sebanyak 12.79%.

Sepatutnya sebagai negeri maju, Selangor mempunyai keupayaan meningkatkan jumlah vaksinasi dengan anggaran mencapai 20% berbanding negeri-negeri lain. Jika 4 juta penduduk menjadi sasarannya, Negeri Selangor harus menggandakan usaha kerana dengan mengurangkan risiko di Negeri Selangor, secara automatiknya akan mengurangkan risiko penularan ke atas negeri-negeri lain juga.

Kita menyambut baik hasrat Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, saudara Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya untuk meningkatkan kadar vaksinasi di Selangor.

Usaha ini adalah perlu sebagai strategi perancangan dan keutamaan berdasarkan pentaksiran risiko untuk Negeri Selangor. Dato’ Dr Afifi Akiti, Felo Pengajian Islam Universiti Oxford dalam program forum cendekiawan negara ada menasihatkan supaya kerenah birokrasi dilembutkan dan proses vaksinasi dipermudahkan untuk golongan sasaran seterusnya mencapai imuniti berkelompok yang disasarkan.

Dengan jumlah sasaran vaksinasi sebanyak 26.18 juta untuk penduduk Malaysia, keupayaan jentera haruslah digembleng dan ditingkatkan.

Dr Khairuddin Md Isa
Pensyarah Kanan Unversiti Malaysia Perlis dan Penolong Setiausaha Cendekiawan Negara.