Sindiket pelaburan tidak wujud didalangi 9 suspek tempatan membabitkan kerugian RM1.895 juta ditumpaskam JSJK Bukit Aman dalam serbuan Ops Nuri di Kuala Lumpur, Johor dan Kedah baru-baru ini. Ihsan JSJK Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan palsu atas nama Skim Pelaburan Banker Capital (BKC) dan Skim Pelaburan Wow Exchange OU dengan pulangan modal sehingga 400 peratus dipatahkan polis.

Dalam Operasi Nuri terbaharu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah menahan sembilan suspek termasuk tiga wanita disyaki anggota sindiket.

Pengarah JSJK, Komisioner Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 62 itu diberkas melalui beberapa siri operasi yang dijalankan di sekitar Kedah, Kuala Lumpur dan Johor.

Mereka ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram AMLATFPUAA 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Setakat ini sembilan kertas siasatan dibuka berkait skim-skim pelaburan ini melibatkan kerugian RM1.895 juta.

“Siasatan polis mendapati mereka menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa dan menggunakan dua modus operandi berbeza untuk memperdaya mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamaruddin, bagi skim pelaburan BKC, sindiket itu mempromosi pelaburan dengan kadar keuntungan antara 100 hingga 400 peratus daripada jumlah modal dilaburkan dan mangsa diyakinkan wang mereka akan dilabur oleh syarikat BKC ke dalam sektor pelaburan di dalam dan luar negara yang berpotensi menjana keuntungan tinggi.

Bagi pelaburan BKC itu, beberapa pakej pelaburan ditawarkan sindiket berkenaan bermula daripada pakej trainee yang bernilai serendah USD100 hinggalah pakej capitalist bernilai USD10,000.

Menurut beliau, skim pelaburan Wow Exchange OU pula sindiket mendakwa ia adalah skim pelaburan menyasarkan mata wang kripto dan juga e wallet yang dinamakan sebagai Token Wowx yang dikatakan berdaftar dan berpusat di Singapura melalui syarikat Wow Global Pte Ltd.

“Setiap pelabur diarahkan membuat bayaran modal ke beberapa akaun bank yang diarahkan sindiket namun akhirnya mangsa tidak memperoleh apa-apa pulangan daripada modal yng dikeluarkan untuk pelaburan ini,” katanya.

Ujar Kamaruddin, dalam serbuan dan tahanan ahli-ahli sindiket berkenaan polis berjaya merampas sebanyak 13 unit telefon bimbit, 11 keping kad ATM pelbagai bank, sekeping kad kredit, tiga komputer riba, enam unit alat kawalan kereta, lima kereta, seunit tablet, sebuah clutch bag, dua dompet, satu set dokumen profil syarikat pelaburan BKC.

Turut dirampas polis, satu set risalah pakej pelaburan BKC, senaskah majalah Global Furtune, satu set salinan transaksi bank, sekeping salinan gambar wang USD, dua buku simpanan bank, lima fail mengandungi pelbagai dokumen syarikat, dua ikat dokumen syarikat.

“Pasukan JSJK juga mengambil sebuah beg silang, sembilan buku cek pelbagai bank, enam salinan perakuan pendaftaran perniagaan SSM, sebuah cop syarikat, sebatang pen berjenama, sekeping kad akses dan wang tunai RM9,000, Won Korea 208,000 dan dolar Amerika $26 dan dolar Singapura 644 kesemuanya hasil kegiatan penipuan itu.

“Bagi mengelak terpedaya dan menjadi mangsa sindiket ini, sentiasa berhati-hati dan jangan mudab percaya dengan iklan di media sosial Facebook, Whatsapp, Wechat dan sebagainya dan sentiasa berwaspada pulangan pelaburan too good to be true dan wujudkan syak wasangka terhadap tawatan pelaburan berkenaan.

“Buat semakan dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi mengetahui status skim pelaburan, dan syarikat yang menawarkan pelaburan tersebut,” tegasnya.- MalaysiaGazette