Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR – Warga koperasi disarankan mengambil tahu dan celik pelaburan khususnya pelaburan patuh syariah bagi mengelakkan mereka terlibat dalam jenayah kewangan yang memudaratkan dan perlu mengetahui instrumen dibenarkan mengikut hukum syarak untuk membuat pelaburan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah menegaskan, keperluan ilmu pelaburan adalah penting buat gerakan koperasi yang menjalankan aktiviti ekonomi di dalam pelbagai sektor agar pengamalan pelaburan terbaik dapat dilakukan serta memastikan keuntungan yang diperolehi adalah daripada sumber yang halal.

Perkara tersebut dinyatakan beliau semasa merasmikan Program Cakna Muamalat Dalam Gerakan Koperasi 2021 yang diadakan secara dalam talian pada hari ini.

Menurutnya, warga koperasi seharusnya mengambil peluang melalui perkembangan pesat teknologi kewangan (Fintech) di Malaysia, yang mana menurut Tinjauan Ekonomi 2020, yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, Puarata Nilai Dagangan Harian (ADV) sekuriti patuh syariah berjumlah RM1.3 bilion daripada keseluruhan ADV yang bernilai RM2 bilion, meletakkan indeks patuh syariah mengatasi indeks konvesional.

“Pengetahuan terhadap pelaburan harus dipertingkat terutamanya yang patuh Syariah bagi mengelakkan masyarakat mengalami kerugian dan terpedaya dengan tawaran tidak munasabah pelaburan haram dan skim cepat kaya.

“Angkasa turut mangambil inisiatif mengeluarkan Sijil Pematuhan Syariah bagi menambah keyakinan para pengguna dan pelabur terhadap produk dan perkhidmatan koperasi,” katanya.

Bagi menguatkan lagi keaslian sijil tersebut tanda keselamatan dalam bentuk ‘barcode’ akan diperkenal bagi mengelakkan pemalsuan Sijil Pematuhan Syariah ini.

Tambahnya, Angkasa berharap sektor koperasi dapat meneroka peluang pelaburan khususnya yang patuh syariah dalam usaha meningkatkan lagi peluang menjana perolehan dan pada masa yang sama mengkaji dan meningkatkan keilmuwan pelaburan supaya tidakterjerat dengan skim pelaburan yang tidak sah. – MalaysiaGazette