Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Tiga beradik ditahan polis kerana dipercayai bertindak kasar dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam satu kejadian di Jalan Merdeka bersebelahan Medan Selera 113 Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pukul 9 malam itu, dua anggota dari Balai Polis Ampang sedang menjalankan rondaan dan ternampak sebuah kereta jenis Honda berwarna putih melanggar lampu isyarat merah.

Menurut beliau, anggota kemudiannya menahan kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan itu bagi mendapatkan pengenalan diri.

“Dalam proses mengeluarkan saman, suspek bertindak menengking dan meninggikan suara kepada pengadu serta mempersoalkan tindakan pihak polis.

“Selang beberapa minit kemudian, dua lelaki yang merupakan abang kandung kepada suspek tiba di lokasi kejadian dengan salah seorang daripadanya telah membuat kecoh dan menjerit ke arah pengadu.

“Abang kepada suspek terbabit turut mempersoalkan tindakan pengadu memeriksa adiknya selain bertindak merakam gambar dan video semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, apabila keadaan menjadi semakin kecoh anggota terbabit kemudiannya mengarahkan kesemua suspek untuk pergi ke balai.

“Namun salah seorang daripada anggota yang bertugas itu telah ditolak sehingga terjatuh. Pihak polis secara serta-merta membuat tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, tiada sebarang kecederaan serius berlaku semasa kejadian dan kesemua suspek yang bekerja sebagai mekanik direman selama empat hari sehingga 25 Jun.

Katanya, berdasarkan ujian air kencing yang dijalankan, kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk berkata, polis sentiasa memandang serius kejadian melibatkan kekerasan dan menghalang tugas penjawat awam.

“Orang awam dinasihatkan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada penjawat awam terutama pihak polis dalam melakukan tugas,” katanya – MalaysiaGazette