ACP Baharudin Mat Taib

SHAH ALAM – Polis Shah Alam telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM194,000 ke atas 15 majikan kilang perindustrian serta 22 pekerja kilang sepanjang pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP 3.0).

Rumah-rumah ibadat bukan Islam di Shah Alam juga sedang dipantau secara dekat rentetan penerimaan aduan daripada awam mengenai perlanggaran SOP dan percubaan melangsungkan upacara sembahyang semasa PKP Penuh.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sejak akhir-akhir ini pihaknya telah menerima banyak aduan mengenai sektor perkilangan di daerah berkenaan yang telah menjalankan operasi perkilangan tanpa mematuhi SOP MKN.

“Rentetan aduan awam itu, polis IPD Shah Alam telah melancarkan satu Operasi Khas Pematuhan SOP Covid-19 yang melibatkan kilang-kilang terhadap semua kilang-kilang yang tidak mematuhi dan tidak akur pada SOP (PKP 3.0) yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Pemantauan dijalankan melibatkan 333 buah kilang, sebanyak RM10,000 kompaun dikenakan terhadap 15 Kilang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM150,000, selain itu kompaun sebanyak RM2,000 turut dikenakan terhadap 22 pekerja kilang berjumlah keseluruhan sebanyak RM44,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, terdapat pelbagai kesalahan utama dikenalpasti dalam Op Khas Pematuhan SOP (PKP 3.0) berkenaan yang dilaksanakan di kilang-kilang perindustrian .

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan adalah tiga buah kilang dikenalpasti beroperasi tanpa surat kebenaran MITI, empat buah kilang didapati beroperasi tidak mengikut arahan seperti yang disyaratkan dalam surat kebenaran MITI.

“Selain itu, tiga buah kilang lagi didapati telah melanggar syarat kapasiti 60 peratus pekerja yang dibenarkan manakala lima buah kilang didapati tidak menyediakan laluan masuk dan keluar khas untuk pekerja.

“Sebanyak 15 buah kilang yang dikenakan tindakan terlibat pengoperasian pembuatan cat, pengangkutan, penyimpanan barang barang kimia, bahan ganti telefon bimbit, percetakan, kayu, elektronik dan besi.

“Antara kilang yang didapati beroperasi tanpa surat MITI merupakan kilang pembungkusan dan penghantaran barang dan pencetakan, kesalahan beroperasi tidak mengikut arahan dalam surat kebenaran MITI melibatkan kilang bahan ganti telefon serta komponen besi dan jentera.

“Selain itu, kesalahan melibatkan langgar syarat kapasiti pekerja dibenarkan adalah kilang eletronik serta pam air manakala kesalahan tidak menyediakan laluan keluar masuk melibatkan kilang logistik serta pembuatan makanan,” ujarnya.

Tambah Baharudin, selain dari operasi sektor perkilangan, pihaknya turut menerima aduan awam membabitkan operasi rumah ibadat selain Islam yang cuba mengadakan upacara sembahyang tanpa mengikut SOP PKP (3.0).

“Masyarakat diingatkan mana-mana aktiviti sembahyang diĀ  masjid/tokong/kuil/gereja hanya boleh melibatkan 12 orang ahli jawatankuasa sahaja dalam satu-satu masa dan tidak boleh melibatkan kehadiran jemaah atau penganut lain dari luar.

“Saya memberikan peringatan tegas ini dan mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sebagai usaha kita bersama memutuskan rangkaian Covid-19,” tegas beliau. – MalaysiaGazette