KUALA LUMPUR – Walaupun kes ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam dilihat menurun berbanding dua hari lalu, tetapi dengan 754 kes ia tetap dianggap tinggi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah yang melebihi 700 kes sehari dianggap tinggi dan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mematuhi SOP masih rendah.
Namun, katanya, daripada 754 individu yang ditahan dalam Task Force Operasi Pematuhan itu semalam, 701 dikenakan kompaun, manakala 53 lagi direman.
“Seperti biasa, kesalahan direkodkan seperti gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis mencatatkan kes tertinggi iaitu 144 individu, diikuti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (141) dan tidak memakai pelitup muka (135).
“Kesalahan lain iaitu tiada penjarakan fizikal seramai 92 individu, membawa penumpang berlebihan (84), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (78), premis gagal patuhi arahan (11) dan lain-lain kes (69),” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan telah menangkap 44 pendatang asing tanpa izin.
Katanya, dalam operasi itu juga, sebanyak sembilan kenderaan darat serta dua bot atau kapal dipercayai digunakan mereka untuk menyeludup masuk pendatang asing telah ditahan.
“Dalam operasi itu juga, sebanyak 207 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan,” katanya. – MalaysiaGazette