Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan selepas sidang media mengenai kejayaan tangkapan penipuan jual beli atas talian di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang graduan teknologi maklumat United Kingdom (UK) diberkas selepas terlibat dalam penipuan mencuri gambar dan identiti orang lain di Facebook (FB) sebelum membuat Mykad palsu.

Dengan Mykad palsu itu, suspek memohon kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan kad kredit yang digunakannnya untuk melakukan penipuan pembelian barangan dalam talian.

Itu taktik jenayah licik dan padu seorang lelaki tempatan yang menyebabkab  kerugian berjumlah RM80,000.

Suspek dikatakan mempelajari taktik penipuan tersebut daripada rakan-rakannya ketika  belajar di UK.

Dia mula melakukan penipuan kononnya mahu membeli barangan melalui dalam talian, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Katanya, kegiatan suspek terbongkar selepas polis menerima laporan pada 18 Jun lalu daripada individu yang bekerja sebagai pengurus syarikat jualan peralatan memancing yang mendakwa ditipu dalam urusan jual beli alat memancing yang membawa kerugian  RM14,000.

Mangsa mendakwa tidak menerima bayaran wang daripada suspek yang dibuat menerusi akaun e-wallet.

“Bertindak atas maklumat pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sentul berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki berusia 35 tahun di Sungai Buloh dipercayai dalang dalam aktiviti penipuan jual beli dalam talian ini.

“Dalam tangkapan itu berjaya merampas barangan yang digunakan untuk penipuan iaitu 28 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 131 keping kad sim prabayar telefon, 45 keping kad kredit pelbagai bank, 8 keping kad pengenalan disyaki palsu, dua keping pasport palsu, 32 keping kad akses perumahan, dua unit mesin pencetak kad akses rumah, sebuah komputer riba.

“Turut dirampas sekeping resit deposit Maybank RM20 bertarikh 24 Mei 2021 satu gfail hitam mengandungi maklumat rekod transaksi ditulis tangan. dua buku mengandungi maklumat mangsa serta tujuh kotak kosong untuk tujuan penghantaran barang,” katanya dalam sidang media kejayaan tangkapan itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan barang rampasan selepas sidang media mengenai kejayaan tangkapan penipuan jual beli atas talian di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2021.

Beliau menambah, polis juga merampas barang yang dibeli suspek  iaitu lima unit mesin memancing pelbagai jenama, 18 unit unit pemprosesan pusat jenama HP, sebuah beg Reel Case dan Rod Case jenama Opass,seunit kotak mesin memancing berjenama, enam mesin pelbagai jenama Bosch, sebuah penghawa dingin berjenama, dua buah pemanas air mandi dan enam buah Submersible Pump jenama Bosch.

Siasatan awal polis ke atas suspek itu mendapati dia bergerak secara individu dan merupakan peniaga dalam talian dan modus operandinya adalah mendapatkan barangan yang dibeli menerusi penipuan dalam talian daripada mangsa iaitu peniaga dengan membuat bayaran menerusi e-wallet.

“Suspek mewujudkan akaun peribadi dalam e-wallet bagi tujuan transaksi pembayaran barangan dalam talian menggunakan alamat palsu serta identiti gambar, butiran individu lain yang diperoleh dari facebook.

“Sejurus dia menerima barang yang dibeli dari mangsa, suspek segera mengadu kepada pengendali e-wallet kononnya berlaku penipuan penyalahgunaan butiran peribadinya dalam urusan jual beli berkenaan dan mendesak membatalkan segera pembayaran e-wallet itu sebelum mangsa (peniaga) menyedari bayaran untuk barang yang dijual dalam talian tidak diterima daripada suspek.

“Suspek kemudian menjual semula barangan yang dibeli  kepada seorang lagi individu jauh lebih murah daripada harga pasaran semasa menggunakan platform yang sama atas nama syarikat miliknya selepas menerima bayaran.

“Tetapi suspek tidak menghantar barang tersebut kepada pembeli. Penipuan yang dilakukan sejak 2018 ini telah mengaut keuntungan,” katanya.

Eng Lai berkata, lebih menarik suspek menggunakan taktik sama mengadu dan meminta e-wallet membatalkan pembelian barang oleh mangsa daripadanya atas alasan pembeli menyalahgunakan butiran orang lain untuk berurusan jual beli dengannya.

Antara barang rampasan yang ditunjukkan pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan penipuan jual beli atas talian di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2021.

Menurut beliau, siasatan ke atas suspek mengaku melakukan penipuan terhadap lebih 40 mangsa sejak dua tahun setengah ini dan 12 kes daripadanya dia berjaya kaut keuntungan.

Katanya, suspek ditahan reman sejak Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Eng Lai berkata, dalam kes ini syarikat e-wallet tidak membuat sebarang laporan polis  tetapi Polis Sentul telah meminta kerjasama e-wallet itu untuk membantu siasatan kes ini. –  MalaysiaGazette