KUALA LUMPUR Program vaksinasi Covid-19 khas untuk pelaut-pelaut warganegara Malaysia dan pekerja-pekerja sektor pelabuhan khususnya di sekitar Lembah Klang akan bermula Jumaat ini, simbolik penghargaan kepada khidmat bakti pelaut sempena sambutan Hari Pelaut Sedunia 2021.

Ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

JLM berkata, program dijangka berlangsung selama enam minggu bertempat di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Serbaguna Kelab Sosial dan Rekreasi LPK (PPV Sektor Maritim Klang) di Pelabuhan Klang, tertakluk sepenuhnya ke atas kuantiti vaksin dan kapasiti tenaga kerja yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Setakat ini, JLM telah menerima senarai butiran pelaut daripada syarikat-syarikat perkapalan tempatan melalui Malaysia Shipowners’ Association (MASA) khusus bagi program ini.

Pelaut yang telah mendapat pengesahan serta janji temu adalah amat disarankan untuk hadir dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di PPV.

Sasaran program adalah para pelaut aktif yang berada di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette