Temubual bersama Timbalan Pengarah Institut Kajian Ektik (KITA), UKM, Prof Dr Noorkartini Aboo Talib @ Khalid dan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How secara maya dalam Skop MG di Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Desakan agar persidangan Parlimen dibuka semula oleh sebahagian ahli Parlimen pembangkang dilihat sebagai langkah kurang bijak.

Timbalan Pengarah, Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Noorkartini Aboo Talib @ Khalid berpandangan, kerajaan ketika ini sudah melakukan sehabis baik bagi menangani saat-saat kritikal Malaysia dilanda Covid-19.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengakui secara realitinya bahawa Covid-19 bukan palsu dan kadar kematian juga adalah jelas.

“Sebagaimana Kerajaan Perikatan Nasional telah jelaskan, setakat ini banyak bantuan telah diberikan.

“Antaranya pakej-pakej yang disediakan seperti memberikan bantuan segera, bantuan prihatin dan juga pelan pemulihan negara.

“Perkara ini diambil begitu serius oleh kerajaan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG bertajuk ‘Agong Dengar Nasihat PM Atau…’

Noorkartini digandingkan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Noorkartini berkata, tindakan mendesak agar Parlimen dibuka dengan segera adalah bertentangan dengan sikap seorang wakil rakyat.

“Nampaknya kepembangkangan kena sabar, jangan gelojoh. Pakatan Harapan memang semua nak cepat. Tumbang pun cepat.

“Seri Paduka Baginda berkuasa memanggil Parlimen bersidang. Jawapan daripada istana begitu positif untuk Parlimen bersidang.

“Tetapi perlu diingat, ia adalah atas nasihat perdana menteri. Jadi kena berhati-hati apabila kita melihat kepada keinginan untuk cepat ini,” jelasnya.

Noorkartini berkata, kerajaan perlu menyediakan dahulu satu keadaan yang sihat dan selamat sebelum Parlimen dibenarkan bersidang.

“Memang ada banyak pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang melibatkan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu.

“Tetapi yang jelasnya, Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu perlu berwaspada supaya institusi beraja tidak masuk perangkap yang begini,” katanya.

Banyak pihak yang mendesak kerajaan agar Parlimen Malaysia dibuka segera.

Antaranya veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan tiada gunanya jika Dewan Rakyat hanya dibenarkan bersidang pada September depan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini juga membuat kenyataan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin perlu meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula Parlimen secepat mungkin.

Kata mereka, sekiranya perdana menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Yang di-Pertuan Agong, malah ia memberi gambaran bahawa perdana menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.

Desakan pembukaan Parlimen itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini menzahirkan pandangan bahawa Parlimen harus bersidang secepat mungkin.

UMNO turut mengemukakan desakan sama melalui biro politik, yang memberikan notis agar Parlimen bersidang dalam tempoh 14 hari.

Tindakan UMNO itu bagaimanapun ditempelak oleh Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim yang berpandangan sebarang notis memanggil sidang Parlimen perlu dibuat 28 hari bukannya 14 hari. – MalaysiaGazette