Walaupun negara telah berjaya memberi tempat tinggal dan mengelak kesan urbanisasi yang melibatkan isu penempatan, masih ada ruang penambahbaikan dalam model perumahan awam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di negara ini bukan perkara baharu, malah ia bermula sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada akhir tahun lepas.

Namun bagi sesetengah pihak, PKPD bagaikan satu mimpi ngeri, apatah lagi dikurung sekurang-kurangnya 14 hari, malah sesetengah tempat yang mempunyai jangkitan tinggi pula dilanjutkan sehingga 28 hari.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Perumahan Awam (PA) Desa Rejang hari ini mendapati, sebilangan besar penduduk di situ mengeluh dan merintih susulan kesukaran untuk mendapatkan barang keperluan khususnya barang basah.

Lebih menggusarkan kira-kira 12,000 penduduk Desa Rejang apabila mereka tidak dibenarkan untuk membuat pesanan makanan dan barang keperluan dari luar menggunakan perkhidmatan penghantar makanan sejak 18 Jun hingga semalam.

Menurut sumber, penduduk didakwa terpaksa mencatu makanan selepas kira-kira 6,000 penduduk dari 12 blok Desa Rejang masih tidak mendapat bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat semalam.

Antara barang keperluan itu ialah tepung, bihun, minyak masak, biskut kering, kicap, sardin dan susu pekat.

Penghantar makanan, Abd Razak Hassan bercakap susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 18 Jun sehingga 1 Julai 2021 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 23 JUN 2021.

Menurut seorang waris penduduk Desa Rejang yang ditemui MalaysiaGazette, Abdul Razak Hassan, larangan membuat pesanan makanan dan barang keperluan dari luar itu dikeluarkan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah buat sementara waktu.

“Pada mulanya, anak saudara saya beritahu ada arahan dibenarkan (buat pesanan), semalam dia hubungi saya, dia minta belikan barang basah untuk hantar, tiba-tiba arahan itu bertukar, tak boleh.

“Walaupun JKM ada beri barang keperluan, tapi berapa lama boleh tahan makan sardin saja. Itu jadi masalah kepada anak buah saya,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar PA Desa Rejang, hari ini.

Abd Razak juga mendakwa, kawasan lain yang menjalani PKPD sebelum ini tidak seketat PKPD di Desa Rejang dan masih membenarkan penduduk terlibat menggunakan perkhidmatan p-hailing untuk memesan barang dan makanan dari luar.

“Baru-baru ini di Batu Muda, p-hailing dibenarkan (hantar barang dan makanan), cuma perlu diletakkan di tempat yang disediakan, di sini (Desa Rejang) belum lagi,” katanya.

Ditanya tentang kekangan itu, Abd Razak mendakwa, kekurangan jumlah anggota keselamatan di situ menyebabkan pesanan makanan dan barang dari luar tidak dapat diselaraskan ketika ini.

“Mereka beri alasan kekurangan tenaga kerja untuk hantar makanan ke rumah penduduk itu,” jelasnya.

Susulan sekatan itu, Abd Razak mendedahkan pihak berkuasa hanya membenarkan dua kedai runcit sahaja beroperasi di dalam PA Desa Rejang bagi memenuhi keperluan 12,000 penduduk.

“Apabila penduduk nak pergi beli, memang ramai, bayangkan dua kedai, yang datang beribu orang. Kalau kita fikir secara logik bekalan barang di kedai runcit itu pasti tidak mencukupi,” katanya lagi . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast