Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Penduduk dalam dua lokaliti di Tumpat, Kelantan, mampu menarik nafas lega apabila kerajaan akan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil tengah malam ini.

Dua lokaliti itu dikenakan pelaksanaan PKPD bermula 11 Jun lalu berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduknya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, memandangkan kes telah menurun dan berdasarkan laporan KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkannya pada 24 Jun ini.

Sementara itu, katanya, tiga lokaliti, satu di Kelantan dan dua di Sabah akan dilaksanakan PKPD mulai 25 Jun hingga 8 Julai ini kerana KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan yang tinggi juga direkodkan di Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin di Kota Bharu; Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud dan Kampung Kukut, Beaufort, Sabah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan dua lokaliti iaitu Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah dan Lima Sub-zon Wilayah Persekutuan Labuan dilanjutkan tempoh PKPD dari tiga hingga dua minggu.

“PKPD Kampung Likas, Kota Kinabalu dijadualkan tamat hari ini, tetapi dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 7 Julai ini, manakala Lima Sub-zon WP Labuan pula sepatutnya tamat 24 Jun, tetapi dilanjutkan sehingga 28 Jun ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai penamatan PKPD, beliau berkata, selain dua lokaliti di Tumpat, turut ditamatkan mulai tengah malam ini dan esok ialah tujuh lagi kawasan melibatkan Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

Kawasan itu ialah FELDA Jengka 7, Maran, Pahang; FELDA Inas, Kulai, Johor; Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Sarawak; Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Kudat; Taman Wawasan, Beaufort; Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Ho, Kinabatangan; dan Lorong Pasir Putih, Taman Pasir Putih Fasa 1 di Putatan, Sabah.

“Penamatan ini disebabkan pengesahan dari KKM berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di semua lokaliti berkenaan pada tengah malam ini dan esok, 24 Jun 2021,” katanya.

Bagi kawasan yang dikenakan PKPD, katanya, pelaksanaan itu dibuat bagi memudahkan KKM melakukan ujian saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

SOP bagi semua kawasan PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast