Aminuddin Harun

SEREMBAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada minggu pertama Ogos depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, sidang yang akan dibuat secara bersemuka itu juga telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, semalam.

“Kita telah minta Unit Dewan menghantar notis dan warta bagi memastikan perjalanan (sidang DUN) dapat kita jalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kali terakhir DUN negeri ini bersidang ialah pada 3 Dis 2020.

Pada 18 Jun lepas, Aminuddin berkata kerajaan negeri bersedia mengadakan sidang DUN setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadah korban bersempena sambutan Aidiladha bulan depan, beliau berkata perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz. – MalaysiaGazette