Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan penyerahan melalui peruntukkan khas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad di Hospital Enche" Besar Hajjah Khalsom di Kluang baru-baru ini

KLUANG – Tiga aset dan peralatan penyediaan makanan pesakit bernilai kira-kira RM20,000 diserahkan kepada Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dekat sini hari ini.

Penyerahan melalui peruntukan khas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad itu adalah sebagai langkah untuk membantu pengurusan HEBHK meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada pesakit.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peralatan yang diserahkan hari ini adalah pemanas air, peti sejuk dan bekas makanan.

Semua peralatan akan ditempatkan di hospital itu bagi menggantikan peralatan yang sudah rosak atau tidak sesuai digunakan lagi.

“Pemberian sumbangan ini adalah juga sebagai keprihatinan kerajaan negeri bagi membantu setiap hospital kerajaan di dalam negeri ini meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai yang mendapatkan rawatan disini.

“Melalui ini juga diharapkan pesakit yang dirawat di hospital ini merasa lebih selesa dan seterusnya menerima rawatan yang lebih baik,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian selepas menyerahkan aset dan peralatan kepada Pengarah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Pakar Perubatan (Kesihatan Awam) Dr Mohamad Nizam Subahir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Beliau turut berharap, peralatan yang disumbangkan ini dapat digunakan sebaik-baiknya selain melancarkan lagi urusan pihak hospital didalam pengurusan pemberian makanan kepada pesakit.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Pakar Perubatan (Kesihatan Awam), Dr Mohamad Nizam Subahir amat menghargai sumbangan yang diberikan ini.

Jelasnga, sumbangan itu bukan sahaja membantu memudahkan urusan para petugas malah ianya dilihat satu penghargaan kerjaan negeri kepada barisan hadapan. – MalaysiaGazette