Petugas hospital sedang menolak mayat pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 84 lagi kes kematian direkodkan Kementerian Kesihatan hari ini, menjadikan jumlah kumulatifnya bertambah kepada 4,721, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah kematian itu, 73 orang adalah warganegara, manakala 11 lagi bukan warganegara.

Sementara itu, katanya, KKM juga merekodkan kes sembuh 5,411 kes (650,964 kes kumulatif, 90.8 peratus), kes baharu 5,841 kes (716,847 kes kumulatif), kes import lapan (satu warganegara, tujuh bukan warganegara).

Turut direkodkan, kes tempatan 5,833 kes (4,683 warganegara/80.3 peratus, 1,150 bukan warganegara/19.7 peratus), kes aktif 61,162 kes, diikuti kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) 869 kes dan kes memerlukan bantuan pernafasan 438 kes.

Jelas beliau lagi, jumlah kluster sehingga jam 12 tengah hari ini ialah 2,720 kluster, manakala jumlah kluster baharu (30 kluster), kluster yang telah tamat (1,853 kluster) dan kluster aktif (867 kluster).

“Sebanyak 84 kes kematian hari ini melibatkan 32 kes di Selangor, masing-masing 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, lapan kes di Kelantan dan tujuh kes di Johor.

“Turut direkodkan, enam kes di Kedah, tiga kes di Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing dua kes di Melaka, Perak dan Pahang serta masing-masing satu kes di Sabah dan Terengganu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, KKM sentiasa mengambil maklum berkenaan perkembangan situasi semasa jangkitan Covid-19 dalam dan luar negara, yang mana ketika ini lebih 50 peratus negara telah melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti.

Bagi mengurangkan risiko kemasukan kes varian import, katanya, kerajaan telah memperketatkan SOP Pelanjutan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin) ke atas pengembara yang tiba di Malaysia.

SOP ketat itu ialah semua pengembara perlu menjalani ujian PCR COVID-19 tiga hari sebelum tarikh berlepas dan semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa Negara (PMA).

“Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke negara ini dari India, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal dan Pakistan dilanjutkan kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“Pengembara dari lain-lain negara dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang diwartakan kerajaan, tetapi tempoh itu akan dilanjutkan tujuh hari lagi menjadikan jumlah kuarantin keseluruhan 21 hari.

“Jumlah itu sekiranya terdapat keperluan berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan kepada pengembara tersebut pada hari ke-14, maka kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di pusat kuarantin yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette