KUALA LUMPUR – Susulan penahanan reman penolong setiausaha sebuah kementerian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berkaitan kes rasuah lebih RM1 juta, hari ini seorang lagi ditahan.
Kali ini SPRM menahan seorang pengurus syarikat yang turut dikaitkan dengan kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di kementerian yang sama.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Roslizawati Mohd Zanin di di Mahkamah Majistret Putrajaya dekat sini selepas SPRM membuat permohonan tersebut pagi ini.
Reman terhadap suspek bermula hari ini selama empat hari sehingga 27 Jun depan.
Suspek yang berusia 43 tahun itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM lewat malam tadi sebelum ditahan dan dibawa ke mahkamah hari ini.
Menurut sumber, suspek dipercayai telah bersekongkol dengan penolong setiausaha bahagian tersebut bagi memonopoli projek-projek bernilai RM60 juta di kementerian terbabit sejak tahun 2018.
Untuk makluman sindiket tersebut dipercayai telah membolot kira-kira 16 projek yang melibatkan 11 kali pembayaran rasuah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: