Keadaan tulang belakang Nur Damia Lutfiah Fazli, 12, yang membengkok kerana mengalami kelumpuhan saraf otak akibat kecuaian hospital.. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang mempunyai seorang anak kelumpuhan saraf otak berpunca daripada kecuaian hospital, meminta perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.

Fazli Suboh, bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, beliau cuba menghubungi Muhyiddin termasuk mengutuskan surat dua minggu lalu, untuk memaklumkan kes samannya terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Malaysia.

Mahkamah Tinggi pada 14 Januari 2020 telah memutuskan KKM dan Kerajaan Malaysia perlu membayar pampasan berjumlah RM2.3 juta sebagai kos untuk menguruskan anaknya yang diserang penyakit sawan akibat kelumpuhan saraf otak, berpunca daripada kecuaian pihak hospital.

Bagaimanapun, sehingga kini, beliau belum menerima pampasan itu sebabkan KKM dan Kerajaan Malaysia membawa kes tersebut di Mahkamah Rayuan dan kes tersebut tergantung sehingga sekarang.

Pesara TUDM, Fazli bin Suboh, 43, bercakap mengenai anaknya, Nur Damia Lutfiah Fazli, 12, yang menghidap saraf otak akibat kecuaian pihak hospital sejak lahir di Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.
Fazli Suboh

“Saya sudah menang di peringkat Mahkamah Tinggi pada 14 Januari 2020 dengan jumlah pampasan yang disebutkan oleh hakim sebanyak RM2.3 juta, yang mana hakim sebut pampasan itu diberi hak sepenuhnya kepada saya dan isteri untuk menguruskan anak saya.

“Saya tidak pernah melantik mana-mana wakil untuk menguruskan duit ini. Jadi, saya tetap berpegang kepada keputusan Mahkamah Tinggi, namun apa yang terjadi, selepas itu, KKM dan Kerajaan Malaysia mengheret kes ini ke Mahkamah Rayuan.

“Saya tidak kisah, saya ikut undang-undang sebab itu hak mereka dan mana-mana pihak yang kalah di mahkamah akan ke Mahkamah Rayuan, tapi bukanlah bila dibawa ke mahkamah rayuan itu, kes ditunda dan ditunda,” katanya ketika ditemui di Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir pada perjumpaan itu, Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Mihibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup.

Abdul Rani Kulup Abdullah (kiri) melihat keadaan Nur Damia Lutfiah Fazli yang dipangku oleh Fazli Suboh yang mengalami kelumpuhan saraf otak akibat kecuaian pihak hospital ketika dilahirkan dalam pertemuan di Ampang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

Menurut Fazli yang merupakan bekas juruteknik TUDM, dia dan isteri, Umi Al-Khair Fatimah Idris mengharapkan pampasan itu bagi mendapatkan rawatan terbaik untuk anaknya, Nur Damia Lutfiah, yang kini berusia 12 tahun.

“Pampasan ini untuk kehidupan anak saya, untuk kehidupan jangka panjangnya yang tidak tahu apa kesudahannya. Tengok, tulang belakangnya sudah bengkok, tulang pinggungnya dah keluar.

“Saya bapa, kalau saya tak pejuangkan nasib anak saya, siapa lagi nak buat? Mata saya, hati saya hari-hari melihat keadaannya.

“Saya minta Perdana Menteri beri perhatian serius terhadap kes ini. Kami dah cuba berhubung dengannya. Tolonglah Tan Sri. Undang-undang ini sudah sangat tidak adil kepada anak kami,” katanya.

Nur Damia Lutfiah Fazli, 12, yang mengalami kelumpuhan saraf otak akibat kecuaian pihak hospital. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2021.

Razli, selepas tamat perkhidmatan dengan TUDM, bekerja sebagai juruteknik pesawat MAS, tetapi berhenti kerana mahu menjaga dan memberi perhatian lebih kepada Nur Damia.

Umi Al-Khair Fatimah pula selepas 12 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut berhenti kerja kerana hendak memberi sepenuh perhatian kepada anaknya yang terlantar.

Bagaimanapun, menurut Fazli, dia sedih dan kecewa kerana PDRM tidak memberi walau sedikit imbuhan pun kepada isterinya sebagai saguhati untuk meringankan beban mereka berdua yang sudah tidak lagi bekerja.

“Saya bekas anggota tentera, isteri bekas anggota polis. Kami berdua pernah berkhidmat untuk negara. Kenapa kami dilayan macam ini. kenapa anak saya diperlakukan macam ini.

“Saya pula pernah mengharum nama Malaysia ketika dihantar dalam operasi mencari mayat dan menyelamat mangsa tsunami di Acheh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast