EMCO Enhanced Movement Control Order Selangor KL Kuala Lumpur Ismail Sabri Yaakob essential services
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tujuh lagi kawasan baharu di Kedah dan Sabah akan diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 26 Jun hingga 9 Julai ini.

Manakala 11 lokaliti yang dilaksanakan PKPD selama dua minggu sebelum ini melibatkan Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Sarawak akan ditamatkan mulai jam 11.59 malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang dikenakan PKPD bermula Sabtu ini ialah Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim; Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah; dan Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Turut dikenakan PKPD ialah Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, Sabah apabila sebanyak 14 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 66 ujian saringan yang telah dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kadar positiviti 21.21 peratus.

Pada masa sama, katanya, KKM juga mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti penjara dan kuarters itu.

“Lokaliti lain yang turut diletakkan bawah pelaksanaan PKPD ialah Kampung Kuala Merotai, Kalabakan yang didapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Kampung Tahak, Membakut di Beaufort dan Flat Indah Jaya, Sandakan di Sabah juga dikenakan PKPD mulai 26 Jun hingga 9 Julai ini selepas KKM mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kawasan ditamatkan PKPD mulai tengah malam ini ialah Kampung Tajin, Kuala Berang, Terengganu; tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang iaitu Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur.

Ismail Sabri juga berkata, PKPD di Ladang Tereh Mill, Kluang, Johor; Kampung Kolong 2, Kuching di Sarawak dan Kampung Lakai, Jelebu di Negeri Sembilan turut ditamatkan malam ini.

Katanya, penamatan awal PKPD turut melibatkan empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat, Mukah, Sarawak iaitu Rumah Panjang Bala anak Umba, Rumah Panjang Tulu anak Sli, Rumah Panjang Duah anak Entingi, Rumah Panjang Balik anak Gema, Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh.

Lokaliti itu sepatutnya tamat 4 Julai, tetapi dipercepatkan kepada jam 11.59 malam ini kerana KKM mendapati trend kes telah menurun dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan. – MalaysiaGazette