Asri (dua dari kiri) menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada Salmi yang rumahnya rosak akibat ribut di Kampung Pasir Hor.

KOTA BHARU – Lima keluarga yang dalam kesusahan hidup akibat ditimpa musibah dalam dua kejadian berasingan iaitu kebakaran dan ribut, dekat sini, mendapat perhatian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan.

Dalam kejadian ribut di Kampung Pasir Hor, Kubang Kerian kelmarin, sebuah rumah mengalami kerosakan teruk apabila bumbung tercabut diterbangkan angin menyebabkan mangsa, Salmi Mohammad Arshad dan keluarga kehilangan tempat tinggal sementara.

Selain rumah, suri rumah itu turut mengalami kerugian apabila kereta jenis Kancil yang diletak di halaman, remuk akibat ditimpa bumbung rumah berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan Putra Kelantan, Asri Ali, sebaik menerima berita yang menimpa Salmi, barisan kepimpinan parti itu terus bergegas ke kampung berkenaan untuk menghulurkan bantuan.

Katanya, walaupun bantuan dan sumbangan tidak besar, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga itu, sementara menunggu bantuan daripada kerajaan negeri.

“Dalam lawatan ini, kita amat bersimpati dengan Salmi dan keluarga kerana sebahagian besar bumbung rumahnya tercabut dan menimpa pula keretanya hingga remuk.

“Kejadian ini berlaku ketika rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19, yang menyukarkan lagi untuk mereka menjalani kehidupan harian mencari rezeki.

“Kita harap dengan bantuan kecil ini dapat meringankan keluarga Salmi dan kita juga minta wakil rakyat kawasan segera bertindak membaiki rumah yang rosak ini secepat mungkin bagi membolehkannya berlindung dari panas dan hujan,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

Turut hadir, Naib Ketua Putra Kubang Kerian, Ismail Ali; AJK Bahagian, Ahmad Zailani Mat Yazid; dan wakil Ketua Wirawati Kelantan, Fatihah Nasir.

Asri yang juga Ketua Putra Bahagian Kubang Kerian berkata, selain mangsa ditimpa musibah, pihaknya menerusi program cakna dan prihatin turut membantu ibu tunggal, golongan asnaf dan individu yang hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Sementara itu, katanya, rombongan Putra Kelantan turut ke Kampung Gong Dermin 2, Pasir Tumboh menziarahi empat keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran.

Salah seorang dari empat keluarga yang rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Dermin 2 menerima sumbangan dari Putra Kelantan.

“Tragedi yang menimpa keluarga ini bagaikan mengamit hati kami untuk membantu dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi mengurangkan kesusahan dialami mereka.

“Sayu hati melihat kediaman mereka musnah dalam kebakaran itu dan hanya tinggal tapak rumah sahaja. Sekarang mereka tinggal menumpang rumah saudara mara yang turut terkena kebakaran, tetapi sempat diselamatkan,” katanya.

Mangsa yang terlibat ialah Zulkifli Abdullah, Siti Heni Abdullah dan Abdullah Saleh.

“Kita harap kesusahan dan kesulitan dihadapi keluarga malang ini segera mendapat bantuan dari kerajaan memerintah.

“Sungguhpun Putra tidak mempunyai dana, tidak ada peruntukan, tetapi kami kaya dengan sifat cakna sesama ummah dan membantu setakat yang mampu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast