Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh daripada segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pemutihan telah melakukan 97,560 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 21,248.

Menurut beliau, semalam, pasukan itu telah melakukan sebanyak 1,716 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,417 premis perniagaan, yang mana daripada jumlah itu, dua kilang dan 11 premis telah diarah tutup.

Dalam pada itu, katanya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan turut menahan 671 individu atas pelbagai kesalahan ingkar SOP PKP.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 671 individu dikenakan kompaun dan 25 lagi direman.

Beliau turut mengumumkan enam lokaliti iaitu empat di Sabah dan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai 27 Jun hingga 10 Julai ini.

Katanya, lokaliti itu melibatkan Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih di Tawau dan Lorong 12, 15 & 16, Taman Fajar dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di Sandakan, Sabah.

Manakala dua lokaliti dalam Kuala Lumpur ialah Kampung Segambut Dalam dan Jalan Kubur Pantai Dalam, yang menyaksikan 131 kes positif Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Daripada 131 kes itu, 78 kes positif direkodkan daripada 646 saringan di Kampung Segambut dan 53 kes daripada 79 ujian saringan di Jalan Kubur Pantai Dalam.

“Dua lokaliti di Tawau pula, KKM mengesahkan trend kes telah meningkat dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Begitu juga kes yang amat ketara dalam tempoh singkat berlaku di dua lokaliti di Sandakan itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dalam mesyuarat bersama KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, kerajaan bersetuju menamatkan tempoh PKPD di sembilan lokaliti mulai esok.

Lokaliti tamat PKPD itu ialah Mukim Besar dan Mukim Serada, Kuala Terengganu, selepas KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Justeru, lokaliti itu ditamatkan PKPD pada 26 Jun ini jam 11.59 malam.

Turut ditamatkan esok ialah pelaksanaan PKPD di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah; Taman Villa Felca Nambazan di Penampang; dan Kampung Kadazan di Tawau.

Dua perkampungan di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lobou 1 dan Kampung Bukit Permai juga ditamatkan pada 26 Jun ini berikutan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

Lokaliti lain yang turut tamat PKPD ialah Kampung Skim Cocos di Kunak, Taman Puri Warisan di Kota Kinabalu; dan Taman Telipok Jaya di Tuaran, Sabah.

Semua kawasan itu, kata Ismail Sabri telah menunjukkan penurunan kes dengan kluster terkawal dan semua kes positif sudah menerima rawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast