KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM35,000 ke atas seorang pegawai Imigresen kerana mengaku bersalah melakukan rasuah.
Tertuduh, Muhammad Solihan Johari, 37, kemudian membayar jumlah denda itu.
Jika gagal berbuat demikian, beliau boleh dikenakan hukuman penjara selama tiga bulan.
Hukuman itu diputuskan Hakim Izralizam Sanusi petang ini, selepas pendakwaraya membaca kertas pertuduhan berhubung pemberian rasuah berjumlah RM21,100 kepada tertuduh pada 14 Februari hingga 25 Mei 2018.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Solihan yang ketika tarikh kejadian adalah Pegawai Imigresen Gred KP 19 di Jabatan Imigresen Bangunan AMC Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Beliau telah diberikan wang suapan itu oleh seorang lelaki berusia 44 tahun melalui akaun bank milik seorang wanita.
Wang RM21,100 itu diberikan bagi membantu memproses dokumen perjalanan warganegara asing melibatkan visa, pas dan permit Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Tindakan tertuduh itu bagaimanapun, melanggar peruntukan Seksyen 2(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) menggalakkan intergriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM atau pegawai polis yang paling hampir.
Kertas pertuduhan juga menyatakan, kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Taman Connought, Lebuh Raya Timur Barat Cheras dan Muhammad Solihan didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu juga memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM100,000 atau penjara maksimum selama 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Muhammad Solihan yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana beliau menyesal dengan kesalahan yang dilakukan itu.
Beliau juga memberi alasan mempunyai dua anak yang masih kecil manakala kesihatannya juga terganggu dengan penyakit tulang rawan tergelincir.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman denda kepada tertuduh antara RM25,000 hingga RM40,000 berikutan tertuduh mengaku bersalah pada kali pertama sebutan pertuduhan dibacakan. – MalaysiaGazette