Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media pada satu sidang media khas mengenai Pelan Pemulihan Negara ketika di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 6,000 penghantar makanan dan 7,000 penjaja di sini, Putrajaya dan Labuan akan menerima suntikan vaksinasi selewat-lewat  Julai ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kedua-dua kategori perlu disegerakan untuk mendapatkan suntikan vaksin susulan pendedahan kepada risiko selain meyakinkan orang ramai apabila berurusan setiap hari.

“Walaupun rata-rata penghantar makanan ini terdiri daripada golongan muda lingkungan 20-an dan bukan golongan rentan, pekerjaan mereka termasuk dalam keperluan perlu dan harus bekerja tidak kira apa situasi termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Orang ramai merasakan tidak selamat sehingga mereka tahu golongan ini telah divaksin, penghantar makanan juga perlu terus bekerja untuk mencari pendapatan.

“Jika mereka tidak divaksin, mereka akan berasa patah semangat dan terdedah dengan bahaya, jadi adil untuk mereka diberi keutamaan,” katanya pada sidang media khas baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan berbincang dengan syarikat perkhidmatan pesanan makanan terbabit untuk mendapatkan butiran mengenai penghantar mereka dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, KWP akan memberi keutamaan kepada golongan berisiko tinggi di kawasan berkepadatan tinggi dan terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Ini termasuklah pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL), gelandangan, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pekerja binaan.

“Menerusi program rintis trak vaksin bergerak dan setakat ini lebih 200 gelandangan juga telah divaksin,” jelasnya.

Katanya lagi, pemberian vaksin di Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka mencapai 50,000 sehari menjelang Julai ini menerusi operasi 124 pusat pemberian vaksin.

“Ia termasuk trak vaksin bergerak di kawasan PPR dan Perumahan Awam (PA), kampung tradisi di ibu kota serta penempatan gelandangan.

“Jumlah penduduk yang divaksin di Kuala Lumpur kini meningkat dari 7,000 dos sehari kepada 35,789 dos sehari, Putrajaya (1,800 dos sehari) dan Labuan (3,000 sehari),” katanya lagi. – MalaysiaGazette