Sindiket didalangi lima suspek yang menjdikan empat premis rumah sebagai pot simpan dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang tumpas

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima kenalan rapat, termasuk dua wanita, yang menjadikan rumah sewa sebagai tempat simpanan dadah sebelum diedarkan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintenden Mohd Shokri Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, polis melancarkan operasi pada 21 dan 22 Jun lalu di sekitar Lembah Klang.

“Berpandukan soal siasat dan maklumat kelima-lima suspek berkenaan, polis berjaya menyerbu premis rumah di beberapa lokasi berbeza yang terletak di Sri Hartamas, Cheras, Kuala Lumpur dan Ampang.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan tersebut, pihak polis telah berjaya membuat rampasan dadah jenis heroin seberat 2.82 kilogram, Methamphetamine (syabu) seberat 348.04 gram, ganja 1.23 kg dan serbuk MDMA (sebanyak 53 gm).

“Turut ditemui pil Erimin 5 seberat 518.83 gm atau 1,870 biji, pil ekstasi sebanyak 206 biji di dalam premis yang disyaki didiami suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, polis turut merampas kenderaan serta wang tunai yang disyaki milik kesemua suspek iaitu sebuah kereta Volkswagen Jetta, Volkswagen Passat, dua kereta Perodua Myvi, seutas rantai emas dan wang tunai RM11,460.00.

Tambah beliau, hasil siasatan awal, pihak polis mendapati keempat-empat buah premis tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan utama dadah dan ia disewa selama empat bulan oleh dua suspek lelaki dengan anggaran bayaran sewa RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Sejumlah besar dadah jenis Heroin, ganja, serta pil Eramin 5 dan ekstasi yang dirampas dalam serbuan di tiga lokasi di Lembah Klang rumah dijadikan tempat simpan dan edar dadah aktif sejak tiga bulan lalu.

“Dengan menggunakan empat premis itu sebagai port dadah, kesemua suspek merancang dan mengedar bekalan dadah itu secara berhati-hati secara aktif mengelak dihidu pihak berkuasa selama ini.

“Hasil ujian saringan awal air kencing empat suspek positif dadah Methamphetamine dan THC manakala hasil semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah,” ujar beliau.

Menurut Mohd Shokri, kesemua suspek yang berumur antara 25 hingga 36 tahun itu telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 22 hingga 28 Jun ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Dengan tangkapan sindiket ini, polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi oleh warga tempatan yang dikesan aktif selama tiga bulan di sekitar Lembah Klang.

“Keseluruhan dadah bernilai RM101,644 yang berjaya dirampas itu boleh dibekalkan kepada 5,189 orang pengguna dadah manakala keseluruhan rampasan dan sitaan dalam serbuan ini adalah berjumlah RM 234,704.00,” kata beliau. – MalaysiaGazette