Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) yang merupakan pusat bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) terpaksa menamatkan operasi manakala 179 lagi tidak dapat membuat sebarang pengambilan pelatih semenjak Mac tahun lepas.

Keadaan itu menyebabkan pusat bertauliah swasta kehilangan peluang pendapatan bernilai RM160 juta sepanjang tempoh tersebut dan kira-kira 10,000 tenaga kerja bakal kehilangan pekerjaan.

Menurut Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC), Azizul Mohd Othman dalam satu kenyataan, ILKS adalah antara sektor ekonomi yang amat terkesan akibat penularan covid 19.

Katanya, program-program latihan yang sedang berjalan terpaksa ditangguh berkali-kali dan menjejaskan latihan melibatkan seramai kira-kira 10,000 pelatih serta memberi kesan ke atas pengambilan pelatih-pelatih baru.

Mengikut unjuran yang dibuat oleh FeMAC, sekiranya keadaan ini berterusan lebih separuh daripada 179 pusat bertauliah akan berhadapan dengan risiko penutupan.

Sehubungan dengan itu beliau mencadangkan supaya pusat bertauliah dengan sokongan kerajaan mendapatkan suntikan modal dari instituti kewangan dalam bentuk pinjaman mudah bagi menampung kos operasi untuk tempoh enam bulan.

Katanya, proses vaksinasi kakitangan dan pelatih pusat bertauliah juga perlu dipercepatkan bagi membolehkan sektor latihan kemahiran berjalan seperti biasa dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard.

Azizul turut mencadangkan supaya para pelatih khususnya golongan B40 diberi dana khas sebagai geran latihan kerana kesukaran mendapatkan penjamin untuk memohon pinjaman latihan daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam suasana semasa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast