KUALA LUMPUR – Empat agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjalin kerjasama menyalurkan bantuan musaadah kepada warga Palestin di Selangor.
Agensi itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Bantuan berupa wang tunai dan barangan makanan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Seramai 239 ketua keluarga warga Palestin yang menetap di Selangor menerima bantuan itu, yang dapat meringankan penderitaan mereka.
Menurut Dr. Zulkifli, bantuan itu sebagai menzahirkan keprihatinan dan simpati agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan nasib yang menimpa umat Islam di Palestin.
Katanya, pencerobohan serta serangan daripada zionis Israel telah mengorbankan ratusan nyawa penduduk awam Palestin dan kesannya turut dirasai juga oleh warganya yang menetap di negara ini.
“Hari ini dua penyerahan bantuan diadakan secara berturut-turut yang berlangsung di pekarangan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada jam 9.30 pagi tadi dan di pekarangan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat pada jam 12.00 tengah hari tadi.
“Majlils penyerahan bantuan ini diadakan secara ringkas dengan mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana zakat berjumlah kira-kira RM303 juta kepada golongan asnaf sejak Januari hingga Mei lalu.
Beliau mengakui, komitmen berterusan pembayar zakat begitu signifikan bagi agensi agama untuk terus menyantuni golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan menerusi 30 skim bantuan dan inisiatif yang telah diperkenalkan.
Bagi pelaksanaan ibadah korban pula, Dr. Zulkifli memberitahu, ibadah itu dibenarkan pada Hari Raya Aidiladha dan tiga hari tasyrik selepasnya dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas.
Katanya, ibadah itu dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga 6 petang dengan setiap mereka perlu mematuhi SOP ibadah korban yang telah diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SOP ini adalah atas nasihat mufti seluruh negera melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam,” katanya. – MalaysiaGazette