Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Industri akan dibuka mulai 1 dan 2 Julai ini melibatkan kilang yang beroperasi sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Terengganu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, PPV Minyak dan Gas di Kerteh, Terengganu dijadual beroperasi pada 1 Julai ini.

Kata beliau, jumlah PPV Industri yang akan dibuka selepas ini bergantung kepada bekalan vaksin dan kesanggupan industri itu untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan.

Sementara itu, menurutnya, program vaksinasi untuk Fasa 2 kini sedang berlangsung dan akan terus diperhebatkan di semua negeri bagi membolehkan transisi ke Fasa 3 diteruskan.

Katanya, fasa itu adalah di bawah Preogram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Program di kawasan luar ini turut dipergiatkan bagi memastikan tiada kumpulan yang tinggal. Semua inisiatif ini dilakukan selari dengan sasaran program yang digariskan dan juga dalam Pelan Pemulihan Negara untuk kita beralih ke fasa seterusnya secepat mungkin.

“Fasa 2 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi kategori warga emas, yang sudah berdaftar sebanyak 99 peratus sama ada yang telah menerima vaksinasi ataupun sudah mendapat janji temu.

“Di Selangor pula, saya difahamkan sudah 88 peratus. Ini antara negeri paling ke hadapan dari segi selesainya Fasa 2 untuk vaksinasi warga emas,” katanya pada sidang media selepas meninjau vaksinasi ibu mengandung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.

Kata beliau lagi, Fasa 2 mempunyai dua lagi kategori lagi iaitu OKU dan Komobit, yang akan dibuat serentak dengan Fasa 3 di negeri yang telah selesai serta hampir selesai Fasa 2.

Ditanya berhubung tercetus masalah kehabisan bekalan vaksin di beberapa PPV, Khairy berkata, kerajaan sedang meningkatkan penggunaan vaksin dan masalah seperti itu dijangka selesai Julai ini.

“Memang berlaku masalah itu, tetapi tidak banyak. Mereka telah menggunakan semua bekalan yang sedia ada dan penghantaran bekalan baharu pula tidak dapat dibuat dalam tempoh satu atau dua hari.

“Kita cuba elakkan perkara ini dari berlaku dengan menyediakan perancangan yang lebih rapi. Saya rasa bulan Julai ini apabila kita mendapat penghantaran bekalan yang lebih banyak, perkara ini tidak akan berlaku.

“Masalah ini berlaku kerana penggunaan yang tinggi. Ada negeri yang selesai program vaksinasi dengan cepat memerlukan bekalan dalam tempoh segera. Ini tidak dapat dilakukan,” katanya.

Beliau bagaimanapun, memberi jaminan masalah itu akan diselesaikan tidak lama lagi.

Katanya, bekalan yang ada lebih lapan juta dos, manakala tujuh juta sudah digunakan manakala sejuta dos lagi dalam edaran ke negeri-negeri.

Mengenai penafian Kesatuan Eropah (EU) kononnya blok itu membolot vaksin, Khairy yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, EU tidak faham apa yang disebutnya.

“Saya bukan cakap (sebut) mengenai vaksin yang kita beli. Yang kita beli memang datang dari Belgium dan kita beli empat juta Pfizer.

“Yang saya sebut ialah mengenai pembelian vaksin oleh Kesatuan Eropah yang melebihi keperluan. Mereka beli vaksin ratusan juta dos lebih daripada keperluan penduduk mereka, itu maksud saya, bukan sekatan vaksin yang kita beli,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast