Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kadar jangka pendek diunjur kekal stabil minggu depan dengan campur tangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada pasaran tunai.

Minggu ini, kadar faedah semalama Islam purata berada pada 1.72 peratus, sementara satu, dua dan tiga minggu masing-masing pada 1.78 peratus, 1.81 peratus dan 1.85 peratus.

Bank pusat campur tangan setiap hari untuk mengurangkan lebihan dana daripada sistem kewangan dengan melakukan tender pasaran wang konvensional, lelongan julat tempoh matang Islam (iRMA), tender repo, Program Murabahah Komoditi, tender pasaran wang lelongan julat tempoh matang dan tender repo berbalik.

Jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional untuk minggu ini meningkat kepada RM35.02 bilion daripada RM33.53 bilion minggu sebelumnya sementara dalam sistem Islam, ia menyusut kepada RM19.29 bilion daripada RM20.18 bilion sebelumnya. – MalaysiaGazette