KUALA LUMPUR – Lima lagi kilang diarah tutup daripada beroperasi kerana melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam Task Force Operasi Pematuhan yang dijalankan semalam, pasukan turut mengarahkan 10 premis perniagaan ditutup.
Katanya, sebanyak 12 tangkapan telah direkodkan melibatkan pelanggaran arahan kerajaan dan SOP bagi lima kilang dan 10 premis perniagaan itu.
“Seperti kita umumkan sebelum ini, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan serta SOP yang diwartakan.
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan sebanyak 95,539 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,071.
“Semalam, pasukan ini telah melakukan 2,224 pemeriksaan ke atas kilang dan 11,680 premis perniagaan. Dari jumlah itu lima kilang dan 10 premis telah diarahkan tutup selain 12 tangkapan direkodkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, pasukan Task Force Operasi Pematuhan turut merekodkan penahanan seramai 735 individu atas kesalahan ingkar SOP.
Daripada jumlah itu, 705 individu dikompaun, manakala 30 lagi direman, dengan kesalahan terbanyak direkodkan ialah rentas rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis serta gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis. – MalaysiaGazette