Ahmad Zahid Hamidi Klang Valley Covid-19 vaccination risk
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Rakyat yang dalam kesulitan hidup dan berasa layak mendapat bantuan zakat akibat kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jangan malu untuk memohon.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana bantuan itu adalah hak mereka dan keluarga serta tidak perlu berasa malu untuk memohon.

“Kepada mereka yang dalam kesulitan dan berasa layak mendapat bantuan zakat jangan malu untuk memohon. Ini adalah hak anda dan keluarga anda.

“Jangan sesekali rasa bersalah atau rendah diri dengan keadaan yang berlaku. Rujuklah kepada pusat zakat di negeri anda. Apa yang anda lalui sekarang ini bukan salah anda. Bukan anda sahaja mengalaminya.

“Ini adalah permasalahan di seluruh negara. Jangan anggap hidup anda telah tewas kerana terpaksa memohon bantuan zakat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan kira-kira 5,000 fakir miskin sementara sepanjang PKP 3.0 ini.

Menurutnya, jika masih berdepan dengan kemiskinan selepas enam bulan dibantu, mereka akan didaftarkan sebagai golongan fakir miskin atau dalam erti kata lain, jadi ‘fakir miskin tetap’.

“Seramai 5,000 fakir miskin sementara ini dikesan kerana memohon bantuan kepada LZS. Saya percaya jumlah sebenar fakir miskin baharu di Selangor lebih ramai daripada itu.

“Malah, jauh lebih ramai jika diambil kira di negeri lain. Antaranya, mereka yang dalam kemiskinan, tetapi kurang cakna mengenai bantuan zakat atau mungkin segan untuk memohon bantuan zakat.

“Atau golongan yang belum dapat menerima hakikat mereka kini fakir miskin disebabkan ‘total lockdown’ suam-suam kuku,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata, mereka perlu menganggap bantuan itu sebagai satu bentuk sokongan untuk bertahan sementara berusaha bangkit kembali.

“Kepada seluruh warga kerja LZS dan kakitangan pengurusan zakat negeri, kita ucapkan penghargaan yang tidak terhingga.

“Permudahkanlah segala urusan permohonan bantuan mereka yang memerlukan pada waktu sukar begini.

“Teruslah berusaha mengesan dan membantu fakir miskin baharu pada waktu PKP 3.0 ini kerana itu juga merupakan amal jariah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast