updating MySejahtera Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dikesan di tujuh lokaliti di Sabah dan Pahang semalam.

Berikutan itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokasi berkenaan bermula 28 Jun hingga 11 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lokaliti itu ialah Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah; Tringkap, Cameron Highlands, Pahang; Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang), Kinabatangan, Sabah; dan Kampung Tuunon, Penampang, Sabah.

Tiga lagi lokaliti ialah kawasan sekitar Bandar Jerantut, Pahang; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat, Sabah; dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud, Sabah.

Kata beliau, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk menghalang penularan kes serta mengelakkan jangkitan kepada individu lain.

Ismail Sabri turut memaklumkan, dua lokaliti di Kota Belud, Sabah dilanjutkan sehingga 11 Julai ini.

Katanya, PKPD di Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan itu sepatutnya tamat 27 Jun, tetapi kerana KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan, tempohnya dilanjutkan lagi dua minggu.

Namun begitu, beberapa lokaliti telah ditamatkan pelaksanaan PKPD berkuatkuasa esok, berikutan KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal, manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

Kawasan itu ialah Kampung Indah, Nabawan, Sabah; Kampung Manggis, Kuala Penyu, Sabah; Kampung Baru (SFI), Sipitang, Sabah; dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah.

Turut tamat PKPD ialah kawasan Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang iaitu Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina, Kampung Baru Kampung Raja.

Manakala PKPD Kampung Sundang Laut, Sandakan, Sabah yang sepatutnya tamat 29 Jun ini diawalkan dua hari, iaitu esok. – MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast